DAP kecewa tindakan polis batal kongres Dong Jiao Zong


Ragananthini Vethasalam

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata tiada sebab untuk kongres itu dihentikan kerana Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Disember, 2019.

DAP kecewa dengan keputusan polis untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang Dong Jiao Zong daripada meneruskan persidangan berhubung isu pembelajaran Jawi di sekolah vernakular Sabtu lalu, kata Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng.

Menurutnya, kongres oleh kumpulan pendidikan Cina dan jawatankuasa sekolah sepatutnya dibenarkan kerana Malaysia membenarkan kebebasan bersuara.

“DAP kecewa dengan keputusan polis untuk menghalang kongres Dong Jiao Zong kerana sekiranya kita percaya dengan kebebasan bersuara dalam Malaysia baharu ini, jadi tiada sebab untuk menghentikan kongres berkenaan.

“Sebagai contoh, jika Kongres Maruah Melayu diberi kebenaran untuk diteruskan, ini juga sepatutnya dibenarkan,” tambahnya merujuk kepada program yang diadakan pada Oktober lalu.

Kongres Dong Jiao Zong diadakan bagi membincangkan isu pengenalan pembelajaran Jawi di sekolah vernakular serta menyatakan pendirian kumpulan pendidikan Cina terhadap rancangan Kementerian Pendidikan.

Ia bagaimanapun dibatalkan selepas polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang program itu diteruskan.

“Mungkin ada segelintir pihak tidak setuju dengan pandangan yang dibangkitkan namun ini adalah aspek Malaysia Baru,” katanya.

Kongres Dong Jiao Zong diadakan bagi membincangkan isu pengenalan Jawi di sekolah vernakular dan menyatakan pendirian kumpulan pendidikan Cina terhadap rancangan Kementerian Pendidikan.

Ia dibatalkan beberapa jam selepas polis mendapatkan perintah mahkamah untuk menghalang program itu.

“Saya percaya perkembangan baharu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet akan datang,” katanya.

Tambah Lim modul tiga muka surat itu menyentuh mengenai Jata Negara, ringgit dan negara.

Menurutnya, langkah itu bagi menunjukkan asal Bahasa Melayu yang berkembang daripada tulisan Jawi.

Lim turut mengulangi kenyataan bahawa keputusan kabinet akan membenarkan ibu bapa, persatuan ibu bapa dan guru dan pelajar untuk memutuskan sama ada modul berkenaan perlu diajar di sekolah berkenaan.– 30 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen