Elak rusuhan, mahkamah sekat himpunan isu Jawi Dong Jiao Zong


Khoo Gek San

Pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong menerima arahan daripada majistret agar perhimpunan yang dirancang di Kajang esok dibatalkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2019.

POLIS mendapat perintah mahkamah untuk menghalang pertubuhan pendidikan Cina Dong Jiao Zong berhimpun mengenai kandungan tulisan Jawi dalam buku teks sekolah vernakular.

Perintah berkenaan menyebut, ia bagi mengelakkan berlaku rusuhan sekiranya persidangan yang dijadualkan diadakan di Dewan Kolej Universiti New Era Kajang itu tetap berlangsung.

“… (Ia) bagi mengelakkan satu perbuatan yang mengganggu ketenteraman awam atau mendatangkan bahaya kepada nyawa atau keselamatan manusia atau rushan atau gaduh gempar jika persidangan diadakan.”

Perintah tersebut, yang dilihat oleh The Malaysian Insight, dikeluarkan Majistret Kajang mengikut Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah.

Perhimpunan itu disebut sebagai Persidangan Pertubuhan-Pertubuhan Cina mempertahankan Hak dan Kuasa Lembaga Pengelola Tidak Setuju Pelaksanaan Tulisan Jawi di SJK.

Perhimpunan anjuran Dong Jiao Zong atau nama rasminya Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dijadualkan berlangsung mulai jam 1 petang hingga jam 3 petang di dewan itu.

Setiausaha Agung Dong Jiao Zong, Ng Chai Heng mengesahkan mereka menerima arahan itu.

Satu kenyataan pertubuhan itu seterusnya mengumumkan Dong Jiao Zong akur dengan arahan mahkamah dan membatalkan persidangan tersebut.

Satu kenyataan pertubuhan itu seterusnya mengumumkan Dong Jiao Zong akur dengan arahan mahkamah dan membatalkan persidangan tersebut.

Pertubuhan Angkatan Gerak Minda Malaysia, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Perkasa merancang untuk berdemo di hadapan Kolej Universiti New Era untuk menyekat kongres itu.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga memberi amaran, sekiranya pertubuhan itu berkeras untuk berhimpun,ia akan mengundang gesaan daripada kumpulan Melayu agar sekolah vernakular ditutup.

Presiden PKR Anwar Ibrahim turut menggesa Dong Jiao Zong dan pertubuhan Melayu agar tidak mengadakan sebarang perhimpunan berhubung isu tersebut.

Tiga halaman dalam buku teks yang masih menjadi kontroversi itu antaranya melibatkan pengenalan cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu, nama Bank Negara Malaysia, matawang Ringgit Malaysia dan nama negara Malaysia dalam Jawi.

Buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu itu akan mula digunakan dalam penggal persekolahan bermula Januari. – 27 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen