Ada apa dengan kemelut pengajaran Jawi?


Khoo Gek San

Pengajaran modul Jawi untuk pelajar Tahun 4 adalah antara isu besar dihadapi Pakatan Harapan tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

LANGKAH Kementerian Pendidikan memperkenalkan modul khat Jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah vernakular adalah antara isu besar yang memecahkan rakyat sejak Pakatan Harapan mula mentadbir Putrajaya tahun lepas.

Kumpulan mewakili masyarakat Cina dan India membantah, manakala kumpulan Melayu menyokongnya.

Disebabkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Putrajaya itu, beberapa badan bukan kerajaan dan pergerakan masyarakat sivil seperti Dong Jiao Zong dan Gabungan Sekat mengumumkan mereka akan mengadakan kongres membincangkan isu Jawi di sekolah vernakular masing-masing pada 28 dan 29 Disember.

Bagaimanapun, disebabkan ketegangan yang semakin memuncak, polis berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk menghentikan majlis anjuran Dong Jiao Zong yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Bagaimana ia bermula?

Ogos lalu, Kabinet membuat keputusan bahawa modul Jawi yang jadi pertikaian itu akan dikurangkan muka suratnya daripada enam kepada tiga.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching dilapor berkata yang kumpulan pendidikan Cina dan Tamil bersetuju membenarkan khat Jawi diajar kepada pelajar Tahun 4 sekolah vernakular selepas sesi dialog diadakan.

“Kami sudah bersetuju yang tiada masalah dalam pengenalan tulisan khat. Matlamatnya adalah untuk memperkenalkan kaligrafi khat dan bukannya belajar Jawi,” kata Teo selepas mesyuarat di Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

“Kami juga bersetuju yang dalam pengenalan tulisan khat, pelajar tidak akan diuji dalam peperiksaan. Ia adalah pendirian NGO dan kementerian bersetuju dengannya,” tambahnya lagi.

Ogos lalu, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata kumpulan pendidikan Cina dan Tamil bersetuju membenarkan khat Jawi diajar kepada pelajar Tahun 4 sekolah vernakular selepas sesi dialog diadakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

 

Kementerian kemudian menyemak semula garis panduan modul supaya ia hanya menjadi pilihan dan diajar sekiranya mendapat kelulusan sekurang-kurangnya 51% pihak berkepentingan terdiri daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa dan pelajar.

Tetapi, kerana kecewa lembaga sekolah tidak dilibatkan dalam proses membuat keputusan, Dong Zong menggesa semua sekolah vernakular Cina untuk menolak modul itu.

Apa yang menyebabkan kongres diadakan?

Dong Jiao Zong mengumumkan persidangan akan diadakan pada 28 Disember selepas Kementerian Pendidikan bertegas akan meneruskan rancangannya untuk melaksanakan modul Jawi pada 2020.

Hampir 1,000 orang dijangka hadir di kongres yang akan diadakan bermula jam 1 hingga 3 petang di Kolej New Era, Kajang.

Pada 24 Disember lalu, Dewan Persidangan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) menyokong tindakan Dong Jiao Zong untuk mengadakan kongres.

Satu lagi kongres bantah Jawi anjuran Sekat dijadualkan berlangsung Ahad ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

Pengerusinya Ong Seng Khek dilaporkan berkata bagaimana kumpulan itu turut menyokong keputusan Kabinet pada 19 Ogos lalu yang memberikan kebebasan kepada semua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) membuat keputusan sama ada mahu mengajar atau tidak mengajar modul Jawi kepada pelajar masing-masing.

“Kami bagaimanapun membantah bahagian kedua keputusan Kabinet pada 19 Ogos 2019, yang menyatakan keputusan di setiap SJKC akan dibuat oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan ibu bapa dan tidak melibatkan langsung jawatankuasa sekolah SJKC, yang merupakan pengawal dan pemilik sekolah,” kata Ong.

Sebuah lagi NGO dikenali sebagai Gabungan Pasukan Khas Seni Khat (Sekat) akan mengadakan kongres Jawi untuk menyokong Dong Jiao Zong pada 29 Disember bagi memberi tekanan kepada Kementerian Pendidikan dan mencari persefahaman isu kontroversi itu.

Matlamatnya adalah memberi tekanan kepada Kementerian Pendidikan supaya kembali ke meja rundingan, lata Setiausaha Sekat Arun Doraisamy.

Meneruskan rancangan itu tidak akan dapat mencari penyelesaian yang boleh diterima semua rakyat Malaysia dan semua kaum perlu meletakkan wakil dalam rundingan untuk mencapai konsensus bersama, kata Arun lagi.

Tambahnya, isu pengajaran Jawi di sekolah vernakular adalah isu negara dan bukannya kaum tertentu sahaja/

Kongres itu dijadual diadakan di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya pada Ahad.

Semakan semula modul Jawi dibuat Kementerian Pendidikan nampaknya tidak berjaya meredakan bantahan kumpulan tertentu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

Politikus dan NGO bantah kongres Dong Jiao Zong

Antaranya ialah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang memberi amaran kedegilan Dong Jiao Zong meneruskannya boleh mencetuskan tindak balas lain terutamanya daripada kumpulan Melayu yang akan kembali menuntut supaya sekolah vernakular ditutup.

Presiden PKR Anwar Ibrahim juga menggesa semua pihak bertelagah dalam isu itu termasuklah Dong Jiao Zong dan organisasi Melayu tidak mengadakan sebarang majlis untuk menentang atau menyokong Jawi.

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula berkata partinya sedia bertemu dan berunding dengan semua pihak termasuklah Dong Jiao Zong dan MCA jika ia boleh membantu menyelesaikan kemelut Jawi.

Sementara itu, beberapa buah kumpulan Melayu diketuai oleh Presiden Persatuan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) Masridzi Sat pula sudah membuat laporan polis terhadap majlis anjuran Dong Zong pada Rabu lalu.

Mereka malah memberi amaran yang rusuhan kaum boleh tercetus sekiranya Dong Jiao Zong meneruskan majlis itu.

Presiden PKR Anwar Ibrahim juga menggesa semua pihak bertelagah dalam isu itu tidak mengadakan sebarang majlis untuk menentang atau menyokong Jawi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2019.

Mengapa pengajaran Jawi dibantah?

Semalam, dalam buku risalah setebal 16 muka surat dikeluarkannya, Dong Zong berkata mereka tidak membantah Bahasa Melayu atau Jawi, tetapi pengajaran Jawi yang diajar di sekolah ketika tempoh pengajaran dan pembelajaran akan membebankan pelajar.

Selain itu, mereka juga mahu hak lembaga sekolah dilindungi dan lembaga diberi kuasa membuat keputusan dalam isu itu. Lembaga sekolah tidak dianggap pihak berkepentingan oleh Kementerian Pendidikan yang hanya memberi kuasa membuat keputusan pengajaran Jawi kepada PIBG, ibu bapa dan pelajar.

Mereka juga berpandangan yang sekiranya matlamat kementerian dalam pengajaran Jawi adalah untuk membolehkan pelajar menghargai seni kaligrafi, ia sepatutnya diajar kepada pelajar pelbagai kaum dalam mata pelajaran Seni.

Kumpulan itu juga berpandangan walaupun ketika ini kementerian berkata modul Jawi tidak akan diuji dalam peperiksaan, pelaksanaannya akan menyebabkan ia di uji dalam peperiksaan nasional di masa depan. – 28 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen