Satu lagi kongres Jawi akan diteruskan pada Ahad


Khoo Gek San

Jawatankuasa Khas Pengajaran Jawi Selangor berkata mereka tidak membantah Jawi tetapi hanya menegakkan kuasa membuat keputusan lembaga pengurusan sekolah Cina.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Disember, 2019.

SATU lagi kongres bagi membincangkan isu pembelajaran Jawi di sekolah vernakular akan diteruskan pada Ahad sebagaimana yang dirancang, menurut penganjurnya.

Penyelaras Jawatankuasa Khas Pengajaran Jawi Selangor (JTSC) Eddie Heng Hong Chai berkata, matlamat mereka adalah untuk mempertahankan kuasa membuat keputusan lembaga pengurusan sekolah Cina.

Jawatankuasa itu merupakan ahli Seni Khat Action Team (Sekat) terdiri daripada sekumpulan yang memperjuangkan pendidikan sekolah vernakular.

“Kami tidak membantah pengajaran Jawi di sekolah vernakular atau mahu menyebabkan perpecahan. Kami hanya mengulangi bahawa pentingnya kuasa bagi lembaga pengurusan dalam menentukan dasar sekolah,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Heng berkata, mereka membantah keputusan kementerian untuk memasukkan Jawi dalam silibus Bahasa Melayu dan mahu ianya dikaji semula. 

Bagaimanapun, beliau mengakui ada yang melihat kongres mereka sebagai anti-Jawi. 

“Kami sedia untuk dihentikan, sama seperti yang berlaku kepada Dong Jiao Zong hari ini,” katanya. 

Heng berkata, mereka mahu mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pendidikan, dan telah menjemput menterinya Dr Maszlee Malik untuk hadir, namun beliau masih belum menjawab jemputan itu.

Kongres berkenaan akan diadakan di Hotel Crystal Crown di Petaling Jaya, Ahad ini. 

Heng berkata, polis telah dimaklumkan berhubung kongres berkenaan dan permit juga telah dikeluarkan. 

Terdahulu hari ini, polis mendapat perintah dari mahkamah untuk menyekat Dong Jiao Zong daripada meneruskan penganjuran kongresnya esok berhubung pembelajaran Jawi di sekolah vernakular.

Setiausaha Agung Dong Jiao Zong Ng Chai Heng mengesahkan kumpulan itu menerima arahan untuk menghentikan kongres yang dijadualkan berlangsung di Kajang. 

“Kami telah menerima perintah mahkamah. Kami kini sedang membincangkan tindakan selanjutnya,” katanya kepada The Malaysian Insight dan menambah buat masa ini program berkenaan dibatalkan. 

“Kami menghormati perintah mahkamah, pertemuan esok akan dibatalkan.”

Mahkamah membenarkan arahan itu bagi mengelakkan berlaku rusuhan sekiranya persidangan itu diteruskan. 

Dalam satu kenyataan berasingan, ketua polis daerah Kajang berkata, sesiapa yang terlibat dengan program itu perlu menjauhkan diri dan sebarang perhimpunan oleh mana-mana kumpulan atau organisasi juga diharamkan. – 27 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen