NGO pendidikan Cina terima khat, kata timbalan menteri


Yeoh Cheong Ee

Pengajaran khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 tidak lagi ditentang, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2019.

NGO pendidikan Cina Dong Zong dan Jiao Dong kini menerima pengajaran khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan NGO tersebut hari ini, katanya dalam satu sidang media.

Bagaimanapun NGO tersebut menolak pengajaran tulisan jawi di sekolah vernakular, katanya.

Selain itu, persetujuan dicapai agar pengajaran itu tidak diuji dalam peperiksaan, katanya.

“Kita sudah jelaskan gambarannya hari ini, kita ada persetujuan. Tiada sangsi,” kata Teo. 

Beliau menyifatkan dialog hari ini “bermakna” dan kesemua pihak yang hadir bersetuju agar kumpulan vernakular dilibatkan dalam perbincangan Dokumen Standard dan Pentaksiran (DSKP) untuk matapelajaran itu.

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berkata keputusan itu dibuat selepas pertemuan dengan NGO pendidikan Cina Dong Zong dan Jiao Dong hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2019.

Katanya, kementeriannya juga akan sentiasa memperbaiki DSKP BM untuk membantu guru mengajar subjek tersebut.

Setiausaha agung DAP hari ini menyalahkan akhbar Sin Chew Daily kerana membangkitkan sentimen masyarakat Cina berhubung isu tersebut.

Katanya, akhbar berkenaan membangkitkan kebimbangan bahawa seni khat dan tulisan jawi akan menjejaskan identiti sekolah Cina dan Tamil.

Akhbar berkenaan merupakan media pertama yang melaporkan mengenai rancangan kerajaan itu.

Mesyuarat DAP yang berlangsung lima jam berhubung isu itu semalam memutuskan untuk mencari penyelesaian yang dapat memuaskan hati semua pihak dalam kemelut itu.

Ia berikutan penentangan sebilangan ahli akar umbi, walau ia disokong pemimpin tertinggi termasuk penasihat DAP, Lim Kit Siang. – 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen