Rusuhan boleh tercetus jika Dong Zong tak dihalang, kata kumpulan Melayu


Isu tiga muka surat Jawi yang diajar di sekolah vernakular dengan syarat tertentu terus hangat apabila beberapa kumpulan Melayu mendakwa rusuhan kaum boleh tercetus jika Dong Zong tidak dihalang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

HAMPIR 200 orang berhimpun di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pagi tadi, mendesak polis menghentikan perjumpaan kumpulan pendidikan Cina Dong Jiao Zong untuk membantah pengajaran khat Jawi di sekolah rendah. 

Mereka memberi amaran yang rusuhan kaum boleh tercetus sekiranya Dong Zong meneruskan perjumpaan yang dijadualkan berlaku Sabtu ini.

Kumpulan itu mewakili beberapa kumpulan NGO Melayu turut membuat laporan polis terhadap Dong Zong.

Laporan dibuat Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (Perkid) Masridzi Sat bagi pihak semua kumpulan yang hadir.

Dalam laporannya, Masridzi berkata perhimpunan Dong Zong pada Sabtu itu akan mencetuskan tindak balas kemarahan orang Melayu.

“Kami menggesa polis untuk menyiasat dan menghentikan perhimpunan pada 28 Disember kerana ia akan menyebabkan kemarahan orang Melayu yang boleh membawa kepada kekacauan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969,” kata Masridzi dalam laporan itu.

Tambahnya, Kementerian Dalam Negeri juga perlu mengharamkan Dong Zong.

“Ia menganjurkan aktiviti yang bersifat menghansut, anti Melayu, anti Islam, menganggu keamanan dan kontrak sosial,” katanya.

Awal hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama Islam Mujahid Yusof Rawa juga mendesak Dong Zong membatalkan kongres itu.

Katanya, kumpulan itu perlu mengambil kira penghakiman mahkamah tinggi pada 28 November lepas yang memutuskan Jawi adalah sebahagian daripada bahasa kebangsaan.

Keputusan itu dikeluarkan dalam saman difailkan Gerakan yang mencabar keputusan Putrajaya memperkenalkan pengajaran Jawi di sekolah vernakular.

“Pihak yang menentang sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan menghormati sentimen kerana tindakan mengadakan bantahan melalui kongres dan sebagainya akan mendapat reaksi negatif daripada yang menyokongnya,” katanya.

Isnin lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim juga mendesak semua pihak bertelagah dalam isu Jawi kembali ke meja rundingan dan Dong Zong membatalkan kongres mereka.

Dong Zong dijadualkan mengadakan perhimpunan membantah pengajaran Jawi di sekolah vernakular Sabtu ini, walaupun banyak pihak sudah menyatakan kebimbangan ia boleh mencetuskan serangan balas kumpulan haluan kanan Melayu.

Semalam, Dong Zong menjelaskan yang kongres itu bukanlah protes tetapi acara tertutup untuk membincangkan isu pelaksanaan Jawi di sekolah vernakular.

Ahli Jawatankuasa Pusat Dong Zong Low Chee Chong menegaskan yang tiada rancangan himpunan dibuat sebaliknya ia hanyalah mesyuarat melibatkan wakil NGO Cina. – 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen