Batalkan kongres anti Jawi Sabtu ini, kata menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mempersoalkan kenapa pengajaran Jawi di sekolah dijadikan masalah negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2019.

PENGANJUR kongres untuk membincangkan pengajaran Jawi di sekolah vernakular patut membatalkannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.

Menteri hal ehwal Islam itu berkata penganjur perlu mengambil kira keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 November bahawa tulisan Jawi adalah sebahagian daripada bahasa kebangsaan.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu susulan bantahan dibuat oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia untuk mencabar pengajaran Jawi di sekolah vernakular.

“Isu tulisan Jawi tidak kunjung reda walaupun bantahan dibuat oleh Gerakan di Mahkamah ditolak dan mahkamah menetapkan keputusan bahawa mengajar Jawi tidak bercanggah secara perlembagaan.

“Setiap kita akan tertanya mengapakah ada pihak yang tetap berkeras untuk memanjangkan isu tulisan Jawi melalui bantahan berterusan?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata logik pembelajaran Jawi tersebut yang dikatakan mahu “mengislamkan” pelajar bukan Islam sangat terhad sekadar untuk memperkenalkan warisan budaya dan sejarah negara.

“Mengapakah Jawi dijadikan masalah negara?

“Pihak yang menentang sepatutnya bersikap lebih terbuka dengan menghormati sentimen kerana tindakan mengadakan bantahan melalui kongres dan sebagainya akan mendapat reaksi negatif daripada yang menyokongnya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya lebih baik perkara itu dibawa berbincang dan kembali ke meja rundingan.

“Saya menggesa pihak yang mahu meneruskan kongres ini agar menangguhkan dahulu bagi memberi ruang berdialog untuk mencari titik persetujuan bersama,” katanya.

Pada Isnin, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa semua pihak yang terbabit dalam isu tulisan Jawi, termasuk Dong Zong membatalkan perhimpunan mereka dan kembali ke meja rundingan.

Dong Zong merancang mengadakan himpunan membantah pengajaran Jawi di sekolah vernakular, hujung minggu ini walaupun bimbang ia akan menerima tindak balas daripada organisasi Melayu.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata kontroversi itu mungkin boleh mencetuskan sentimen politik dan perkauman. – 25 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen