Isu peruntukan Kolej Utar jadi isu kaum, kata Guan Eng


Mohd Farhan Darwis Lee Chi Leong

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam kenyataannya semalam menegaskan, institusi pendidikan harus bebas daripada pegangan mana-mana parti politik. – Gambar The Malaysian Inisght oleh Nazir Sufari, 13 November, 2019.

ISU peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Kolej Utar) dipolitikkan pembangkang sebagai isu perkauman, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Katanya, ia bertujuan untuk menggambarkannya sebagai pemimpin anti-Cina dalam kempen PRK Parlimen Tanjung Piai yang sedang berlangsung.

Lim berkata, tuduhan itu bagaimanapun tidak munasabah kerana beliau juga dituduh anti-Melayu dalam kempen kepada pengundi Melayu.

“Sudah tentu mereka akan gunakan isu perkauman kepada pengundi Cina mereka kata saya anti-Cina, kepada pengundi Melayu saya dituduh anti-Melayu, ia tidak masuk akal.

“Kita pro kepada Malaysia dan prinsip, sudah tentu ia tidak akan disiarkan di media tertentu,” kata Lim ketika ditemui pemberita di Cyberjaya hari ini.

Lim dituduh anti-Cina kerana enggan menyalurkan dana kepada Kolej Utar selagi parti MCA tidak melepaskan penguasaan ke atas institut berkenaan.

Lim dalam kenyataannya semalam menegaskan, institusi pendidikan harus bebas daripada pegangan mana-mana parti politik.

Isu peruntukan Kolej Utar itu menjadi antara isu utama dalam kempen pembangkang di Tanjung Piai yang mempunyai 42% pengundi Cina.

Mengulas perkara itu, Lim yang juga setiausaha agung DAP menegaskan langkah itu dibuat untuk menyekat rasuah.

“Salah satu prinsip asasnya adalah kita tidak benarkan pembiayaan politik bagi organisasi yang dikawal parti politik, itu salah. Jadi jika berterusan itu melanggar undang-undang,” kata Lim.

Ahli Parlimen Bagan itu juga berkata, kerajaan tidak menghalang MCA menguruskan institusi berkenaan namun kolej universiti tidak boleh beroperasi menggunakan dana awam.

Isu berkenaan dibangkitkan Presiden MCA Wee Ka Siong yang antara lain sedih kerana peruntukan kepada Kolej Utar tidak disebut dalam pembentangan Belanjawan 2020.

Dalam kempen di Tanjung Piai, ahli Parlimen Ayer Hitam itu membangkitkan bahawa MCA berjaya menyalurkan sehingga RM60 juta setiap tahun kepada Kolej Utar semasa pentadbiran BN.

Isu berkenaan turut disambut calon BN dalam PRK Tanjung Piai, Wee Jeck Seng yang melancarkan kutipan derma bagi dana pendidikan untuk penuntut di Kolej Utar dalam kempennya. – 13 November, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen