BN tetap bersama Najib, kata Zahid


Ragananthini Vethasalam

Pengerusi Umno dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan Najib Razak dalam satu majlis pada September lepas. Bekas perdana menteri itu diarah membela diri dalam kes SRC International. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2019.

UMNO dan Barisan Nasional tidak akan menjauhkan diri mereka daripada Najib Razak yang telah diperintahkan oleh mahkamah hari ini untuk membela diri dalam kes SRC International.

“Kami tidak mempunyai pendirian untuk menjauhkan diri daripada sesiapa pun,” kata presiden Umno dan pengerusi BN kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

“Tidak ada perasaan seperti itu. Apabila seseorang disiasat atau sedang menjalani perbicaraan atau diminta membela diri, pendirian Umno dan BN Masih sama,” katanya.

Beliau berkata pengundi juga tidak akan dipengaruhi oleh prosiding mahkamah yang sedang berlangsung dengan menyatakan keputusan terhadap Najib tidak akan memberi kesan negatif terhadap peluang BN di Tanjung Piai. 

Zahid berkata bekas perdana menteri mendapat sokongan luar biasa ketika melawat Tanjung Piai baru-baru ini.

“Kami akan memberikan kepada sesiapa yang mahu bantu calon BN untuk menjelaskan isu-isu,” katanya.

Dengan tempoh kempen yang hampir berakhir beliau berkata, BN akan menggandakan usaha untuk menyokong calonnya Wee Jeck Seng.

Sementara itu Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata Najib dianggap tidak bersalah sehingga mahkamah mendapati beliau bersalah.

“Beliau diarah membela diri namun tidak bermakna bekas perdana menteri itu bersalah,” katanya.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob berkata parti itu tidak akan mengabaikan Najib kerana kes SRC International ada hal peribadi.

“Najib berkata beliau tidak akan mengheret Umno dalam kes itu. Beliau akan melawan kesnya di mahkamah.

“Malah ada pemimpin lain juga yang terlibat dalam kes mahkamah. Ini adalah hal peribadi dan tidak melibatkan parti,” katanya.

Pemimpin pembangkang berkata Umno akan terus memberikan sokongan moral kepada bekas presidennya sambil menambah kes Najib tidak akan menjejaskan peluang BN di Tanjung Piai.

Pagi tadi Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan bahawa pendakwaan dalam perbicaraan SRC International berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap Najib.

Tertuduh berusia 66 tahun memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dan selepas itu akan disoal balas oleh pendakwa raya.

Tarikh pendengaran ditetapkan dari 3 hingga 19 Disember. – 11 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen