Najib diarah bela diri kes SRC International


Bede Hong Timothy Achariam

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Najib Razak membela diri berkaitan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 November, 2019.

NAJIB Razak diarah membela diri atas tuduhan menyalahguna kuasa dengan meluluskan jaminan kerajaan untuk memperolehi pinjaman RM4 bilion untuk SRC International.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Najib berhubung tuduhan salah guna kuasa sebagai perdana menteri dan menteri kewangan.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan demikian bagi tuduhan itu berhubung jaminan untuk pinjaman daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) KWAP pada 2011. 

“Disebabkan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan negara ini, tertuduh berupaya menyebabkan aturan (operasi) SRC International…yang menjadi penggerak untuk digunakan tertuduh bagi kepentingan peribadinya,” kata Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali ketika menyampaikan penghakiman lisan. 

Nazlan mendapati pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie berkaitan satu kesalahan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, tiga kesalahan pecah amanah di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan tiga kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Alma). 

Tambahnya, bukti diserahkan kepada mahkamah oleh pendakwaan menunjukkan Najib menyalahguna jawatannya untuk kepuasan peribadi. 

Bukti juga menunjukkan Najib menggunakan kedudukannya dalam mesyuarat Kabinet pada 2011 dan 2012 untuk menggerakkan usul kelulusan pinjaman RM4 bilion daripada KWAP kepada SRC International. Daripada jumlah itu, RM42 juta dimasukkan ke dalam akaun peribadinya di AmBank, jelas Nazlan lagi.

Nazlan menambah yang SRC International “bukanlah syarikat biasa” kerana Najib dinamakan sebagai penasihatnya.

“Tertuduh mempunyai pengaruh besar dan memegang jawatan tinggi yang berkuasa dalam SRC,” kata hakim lagi.

“Beliau bukan sahaja seorang menteri kewangan yang menerajui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) sebagai pemilik kepentingan tunggal dalam SRC dan 1MDB (1Malaysia Development Bhd), tetapi juga seorang perdana menteri yang diberikan autoriti mengikut peruntukan dalam SRC untuk melantik dan menyingkirkan pengarah syarikat dan kepadanya juga beberapa perkara khas termasuklah pindaan perlu dirujuk.”

Nazlan berkata bukti bahawa tindakan Najib berkaitan SRC International “tidak boleh digambarkan sebagai tindakan seorang pegawai sama ada sebagai perdana menteri, menteri kewangan atau penasihat emeritus yang menjalankan tugas menurut laras undang-undang semata-mata kerana tindakan dan penglibatannya melampaui kebiasaan.”

Nazlan juga memutuskan bahawa hujah pembelaan yang Najib tidak memberikan sebarang arahan atau hala tuju, tetapi hanya membuat permohonan berkaitan pinjaman daripada KWAP “goyah ketika dicabar dan dipertikaikan”.

Hakim berkata pinjaman RM4 bilion tidak akan diluluskan panel pelaburan KWAP jika tiada jaminan kerajaan.

Katanya, bukti juga menunjukkan wang sebanyak RM42 juta “diperolehi secara salah” kerana Najib mengeluarkan cek untuk jumlah tersebut.

Walaupun Najib mendakwa beliau “terkejut” apabila mendapati wang itu berada di dalam akaunnya, beliau tidak mengarahkan sesiapa membuat laporan polis atau menyaman bank kerana salah urus, kata hakim lagi.

Tambahnya, kesalahan salah guna kuasa berlaku apabila wang tersebut keluar daripada SRC International dan sebelum masuk ke dalam akaun Najib, kerana perdana menteri dipertanggungjawabkan menguruskan syarikat itu.

Secara kesimpulannya, Nazlan memutuskan bahawa wujud kes prima facie bahawa berlakunya kesalahan dalam semua tujuh pertuduhan yang dibuat pendakwaan dan memerintah Najib membela diri. 

Secara keseluruhannya, Najib Razak berdepan 42 pertuduhan jenayah melibatkan lima perbicaraan kes berkaitan skandal 1MDB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 November, 2019.

Najib memilih untuk memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, selepas itu beliau akan disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Tarikh perbicaraan kes ditetapkan pada 3 sehingga 19 Disember ini. 

Turut hadir di kamar mahkamah hari ini ialah anak perempuan Najib, Nooryana Najwa, Ketua Pembangkang Sabri Yaakob, bekas ahli Parlimen Jerai Khir Baharom dan berpuluh penyokongnya.

Najib yang bersuit kelabu dan bertali leher oren bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika penghakiman dikeluarkan, manakala penyokongnya berdiam diri.

Kes SRC International menyaksikan 57 saksi memberi keterangan selama 57 hari bermula daripada 3 April sehingga 27 Ogos. Pihak pendakwaan menyerahkan 750 bahan bukti termasuklah dokumen bank berkaitan akaun Najib, transaksi tunai, minit mesyuarat dan log perbualan Blackberry Messenger mengenai transaksi dibuatnya.

Secara keseluruhannya, Najib berdepan 42 pertuduhan jenayah melibatkan lima perbicaraan kes berkaitan skandal 1MDB. 

Selain kes SRC International yang penghakiman dikeluarkan hari ini, Najib sedang dibicarakan untuk kes 1MDB melibatkan jumlah wang RM2.282 bilion yang didakwa diterimanya antara 2011 dan 2014. 

Perbicaraan kes akan berlangsung satu demi satu kerana Najib selaku tertuduh perlu hadir untuk setiap perbicaraan. – 11 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen