LANGSUNG: Bekas CEO 1MDB tidak sihat, perbicaraan disambung Rabu


Bede Hong Timothy Achariam

Keputusan sama ada Najib Razak bebas atau dipanggil membela diri untuk kes SRC International akan diumum pagi ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 November, 2019.

PERBICARAAN kes 1MDB melibatkan Najib Razak masuk hari ke-34 hari ini dengan saksi kesembilan pendakwaan, bekas CEO 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi menyambung keterangan.

Prosiding akan berehat sementara untuk mendengar keputusan sama ada Najib dibebaskan atau tidak daripada tujuh pertuduhan dalam perbicaraan lain melibatkan kes SRC International.

Hakim bersidang untuk kes SRC International, Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan memberi keputusan sama ada pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya prima facie terhadap Najib, yang berdepan tuduhan menyeleweng RM42 juta dana awam.

Dalam kes 1MDB pula, Najib, 66, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan dirinya dengan menerima RM2.3 bilion hasil rompakan 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram. 

Peguam Kanan Muhammad Shafee Abdullah akan kembali menyoal balas Shahrol.

Khamis lalu, Shahrol memberitahu mahkamah yang antara September 2009 dan Oktober 2011, 1MDB membayar sejumlah AS$1.83 bilion (RM5.5 bilion ketika itu) kepada syarikat yang kemudiannya didapati palsu.

Wang tersebut sebenarnya dipindahkan kepada syarikat dikawal sama ada Low Taek Jho- atau Jho Low- atau sekutunya CEO PetroSaudi International Tarek Obadi.

Transaksi itu melibatkan AS$300 juta kepada 1MDB-PetroSaudi Ltd dan AS$700 juta kepada Good Star Ltd pada 30 September 2009, yang sepatutnya menjadi modal permulaan untuk 40% pegangan dalam usaha sama dengan PetroSaudi International.

Ia juga melibatkan AS$830 juta yang dibayar 1MDB dalam sebahagian daripada dua perjanjian pembiayaan Murabaha yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Tetapi, siasatan kemudiannya mendapati Good Star dikawal Low sementara syarikat usaha sama itu dikawal sepenuhnya oleh PetroSaudi International.

Pendakwaan menuduh Low, Tarek dan Najib bersubahat menipu untuk mendapatkan berbilion ringgit dana 1MDB. Najib yang ketika itu juga adalah menteri kewangan, merupakan pemegang tunggal kepentingan 1MDB atas kapasitinya sebagai ketua Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Beliau juga adalah pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB.

Najib diwakili sekumpulan peguam diketuai Shafee. Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram menerajui pihak pendakwaan. Kes didengar dihadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

The Malaysian Insight membawakan siaran langsung prosiding hari ini:

12.35pm: Mahkamah meneruskan sesi.

Sri Ram memberitahu hakim bahawa saksi tidak sihat dan dia perlu berehat selama sehari untuk memberi perhatian penuh semasa pemeriksaan balas.

Shahrol juga memberitahu hakim bahawa dia memerlukan rehat. Sequerah membenarkannya.

Perbicaraan 1MDB ditangguhkan sehingga Rabu pagi.

10.07am: Shafee meminta sesi soal balas ditangguh. Najib perlu ke bilik lain dalam kompleks mahkamah untuk mendengar keputusan kes SRC International yang akan diberikan Hakim Nazlan.

9.44am: Shahrol berkata beliau meminta bekas pegawai perundangan 1MDB Jasmine Loo untuk bekerja dengan syarikat itu.

Katanya, pada mulanya Low tidak berapa setuju dengan peranan Loo dalam 1MDB, tetapi akhirnya membenarkannya.

9.34am: Shahrol berkata Nik Faisal dilantik oleh Najib.

Shafee bertanyakan Shahrol sama ada beliau mempunyai surat lantikan kerana pihak pembelaan tidak ada salinan.

Shahrol berkata beliau akan periksa dengan penyiasat.

9.33am: Shafee bertanyakan Shahrol tentang peranan bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil di 1MDB. Shafee bertanya adakah Shahrol tahu gaji Nik Faisal.

Shahrol kata tidak tahu.

9.27am: Shahrol kembali ke kandang saksi untuk memberi keterangan. – 11 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen