Laporan polis dibuat terhadap Salahuddin


Sheridan Mahavera

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman di dalam kempennya untuk Pakatan Harapan di PRK Tanjung Piai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 November, 2019.

SATU laporan polis telah dibuat terhadap Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub kerana didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman dalam kempennya untuk Pakatan Harapan di PRK Tanjung Piai.

Salahuddin didakwa membuat kenyataan itu dalam pertemuan tertutup dengan pegawai sekolah Cina di Kukup Laut di mana beliau memberi amaran kepada mereka tentang ancaman yang dibangkitkan oleh Umno-PAS.

Video komen  Salahuddin itu telah dimuat naik di laman Facebook Ops Johor.

Umno dan PAS berkempen untuk calon Barisan Nasional Wee Jeck Seng dari MCA.

Saingan utama BN adalah Pakatan Harapan yang sedang melancarkan kempen untuk calon mereka Karmaine Sardini.

Laporan polis hari ini diserahkan oleh ahli Wanita BN di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.

Laporan itu menggesa polis menyiasat Salahuddin di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana menyebarkan perasaan kebencian dan permusuhan.

Kumpulan itu juga mahu Salahuddin disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1848.

“Dalam video berdurasi 1 minit 20 saat itu Salahuddin jelas cuba menakutkan orang ramai. Beliau secara terbuka berkempen dengan menyebarkan kebencian antara kumpulan etnik dan agama.

“Wanita BN percaya kempen perkauman oleh Salahuddin akan membangkitkan kebencian dan menyebabkan api perkauman,” kata mereka dalam satu kenyataan.

Dalam video itu Salahuddin memberitahu pegawai-pegawai SJKC Pei Chio bahawa:

“Saya tau ada marahkan PH, tapi ingat kalau bagi balik BN berkuasa, dia kawan sama Pas. Ini country akan huru hara! Kita boleh berniaga, boleh sekolahkan anak, tiada orang tembak sana sini, tiada orang bakar sana sini. Nak berniaga tak boleh nak pergi laut tak boleh”

Salahuddin yang merupakan timbalan presiden Amanah menafikan kenyatannya bersifat perkauman.

“Saya memperingatkan, mana-mana parti mainkan isu perkauman melampau berkawan dengan parti agama melampau kita kena berhati-hati…”

“Kami hidup dalam harmoni dan aman dalam kalangan bangsa serta agama,” katanya. – 6 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen