Calon BN lebih utamakan ubai suai pejabat, kata pengerusi LPA


Calon Barisan Nasional PRK Tanjung Piai Wee Jeck Seng didakwa melakukan rasuah atau penyalahgunaan kuasa ke atas bayaran sewa oleh Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA). – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2019.

CALON Barisan Nasional PRK Tanjung Piai Wee Jeck Seng lebih berminat untuk mengubah suai pejabat Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) di Kuala Lumpur dari meningkatkan perkhidmatan pelabuhan secara keseluruhan, kata pengerusi LPA baharu Chan Foong Hin.

“Ada banyak perkara yang harus dilakukan Wee sebagai pengerusi LPA termasuk mengetengahkan undang-undang kecil LPA, menolak penerbitan hak milik tanah untuk Liberty Wharf, membaiki dan menaik taraf jeti di Liberty Wharf, melantik pengendali pelabuhan rasmi, memilih logo, menubuhkan sebuah laman web rasmi serta sebagainya.

“Malangnya beliau telah membuat keputusan untuk membuat pengubahsuaian pejabat di Menara UOA Bangsar sebagai keutamaannya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu dalam satu kenyataan hari ini.

Chan berkata keputusan Wee untuk menyewa dan mengubahsuai pejabat di KL adalah penggunaan dana awam yang melampau dan melulu apabila LPA belum mula menjana sebarang pendapatan.

Beliau menambah Wee telah membelanjakan RM343,189.50 hanya untuk mengubah suai 3,000 kaki persegi di tingkat 22 Menara UOA Bangsar di Kuala Lumpur.

Kemudian beliau menyewa tiga unit pejabat selama tiga tahun dengan jumlah sewa sebanyak RM526,836.96.

“Adakah pengubahsuaian pejabat dan memasang mangkuk tandas auto/pintar lebih penting dari peruntukan undang-undang kecil serta pelantikan pengendali pelabuhan? Wee dengan jelas memberi keutamaan kepada hal yang salah.

“Saya tidak dapat menggunakan pejabat ini selepas pelantikan dibuat kerana ia kosong tanpa perabot atau kakitangan.

“Kami tidak dapat menamatkan kontrak kerana LPA terikat dengan perjanjian sewa sehingga 14 April 2020,” katanya.

Chan memberi maklum balas terhadap kenyataan Wee semalam yang mencabar sesiapa sahaja untuk memfailkan laporan polis terhadapnya kerana didakwa melakukan rasuah atau penyalahgunaan kuasa ke atas bayaran sewa oleh LPA.

Wee, bekas lantikan politik sebagai pengerusi LPA berkata pejabat di Kuala Lumpur memudahkannya menjalankan perniagaan dan syarikat seperti pihak berkuasa pelabuhan bagi berjumpa bakal pelanggan serta pelabur.

Chan juga berkata ahli lembaga LPA yang baru dilantik oleh kerajaan Persekutuan komited untuk belanja secara berhemah.

“Kami kini memberi tumpuan kepada RFP untuk pelantikan pengendali pelabuhan rasmi untuk Labuan Liberty Wharf. Kami juga telah meluluskan undang-undang kecil yang berkaitan untuk menjana pendapatan lestari bagi LPA.

“Selain itu kami juga berusaha sedaya upaya untuk menyewakan pejabat di Bangsar kepada orang lain untuk menampung kos sewa dan ubah suai,” katanya.

Wee akan bertanding dalam PRK Tanjung Piai pada Sabtu ini. Pencabar terdekatnya ialah Karmaine Sardini dari Pakatan Harapan. – 13 November, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen