Pengerusi SPR kecam kritikan terhadap peraturan kempen


Ragananthini Vethasalam

Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata polis yang membuat keputusan berkenaan peraturan baharu mendapatkan lesen kempen di Tanjung Piai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2019.

MENYIFATKANNYA sebagai berunsur politik, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun hari ini menyelar kritikan berkenaan syarat lesen polis untuk kempen pilihan raya, berkata kenyataan itu “didorong oleh niat jahat”.

Beliau menamakan ketua pembangkang daripada Barisan Nasional (BN) Ismail Sabri Yaakob, yang menyindir mengatakan SPR partisan.

“Tuduhan itu tidak berasas dan ada unsur politik.

“Ia mungkin didorong oleh niat jahat,” kata Azhar kepada The Malaysian Insight.

Azhar berkata SPR tidak terbabit dalam syarat baharu permit polis untuk aktiviti walkabout dan kunjungan rumah ke rumah di Tanjung Piai kerana ia adalah keputusan polis.

“Dalam kes di Tanjung Piai, polis memutuskan untuk mengenakan syarat baharu bagi permit, malah untuk walkabout dan kunjungan rumah ke rumah.

“SPR tidak ada kena mengena dengan syarat itu,” katanya.

Permit polis diperlukan mengikut undang-undang untuk ceramah, sementara tugas SPR ialah mengendalikan pilihan raya.

Azhar berkata beliau terkejut dengan komen Ismail Sabri di lobi Parlimen hari ini, mempersoalkan undang-undang baharu itu.

“Saya terkejut bila ahli politik senior pun, yang ada ijazah undang-undang, tidak faham, tidak hargai rangka kerja undang-undang asas membabitkan pilihan raya,” katanya.

Terdahulu hari ini, Ismail Sabri mempertikaikan peraturan baharu berkenaan dan menyatakan ia tidak pernah berlaku sebelum ini yang mana permit hanya diperlukan untuk ceramah sahaja.

“Sekarang ada peraturan baharu. Saya tidak faham SPRM. Mereka sepatutnya badan bebas, bukan dikawal oleh kerajaan.

“SPR perlu bertindak mengikut undang-undang. Jadi saya tidak pasti mengapa isu ini dibangkitkan pada pilihan raya kecil Tanjung Piai,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau juga berkata, perkara itu sepatutnya dibincangkan dengan ahli Parlimen sebelum dikuatkuasakan. 

“Semuanya perlu dibincangkan tetapi kita tidak tahu mengenai perkara ini. Kita hanya terima surat daripada SPR,” katanya. – 12 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen