Peraturan baharu SPR tidak adil, melampau, kata ketua pembangkang 


Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob berkata, SPR sepatutnya jadi badan bebas yang tidak dikawal oleh kerajaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 November, 2019.

KETUA Pembangkang Ismail Sabri Yaakob mempertikaikan peraturan baharu oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung permit polis untuk berkempen dari rumah ke rumah pada pilihan raya kecil Tanjung Piai. 

Pemimpin Umno itu berkata, ia tidak pernah berlaku sebelum ini yang mana permit hanya diperlukan untuk ceramah sahaja. 

“Sekarang ada peraturan baharu. Saya tidak faham dengan SPR. Mereka sepatutnya jadi badan bebas yang tidak dikawal oleh kerajaan. 

“SPR perlu bertindak mengikut undang-undang. Jadi saya tidak pasti mengapa isu ini dibangkitkan pada pilihan raya kecil Tanjung Piai,” kata Ismail Sabri kepada pemberita di lobi parlimen. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai peraturan baharu yang diumumkan SPR hari ini. Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun berkata, ianya perlu selepas mengadakan perjumpaan antara pegawai SPR dan polis di Pontian, Johor.

Dalam kenyataan media, pengerusi SPR berkata hasil perbincangan itu memutuskan pihak polis meminta supaya calon dan parti terlibat dalam kempen mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

Ismail Sabri sebelum ini berkata, perkara itu sepatutnya dibincangkan dengan ahli Parlimen sebelum dikuatkuasakan. 

“Semuanya perlu dibincangkan tetapi kita tidak tahu mengenai perkara ini. Kita hanya terima surat daripada SPR,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid juga berkata peraturan baharu SPR itu adalah melampau. 

“Tidak adil kalau kita perlu minta kebenaran untuk aktiviti seperti itu,” katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Terap.

SPR memutuskan aktiviti walkabout dan meraih undi dari rumah ke rumah dianggap kempen bergerak dan untuk itu, perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan

Tempoh berkempen bagi pilihan raya kecil Tanjung Piai bermula pada 2 November dan hari mengundi diadakan Sabtu ini. – 12 November, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen