Pakatan hilang rentak separuh jalan kempen di Tanjung Piai


Sheridan Mahavera

Walaupun dijangka ada penambahan sokongan Melayu, PH masih bekerja keras memastikan kemenangan calonnya Karmaine Sardini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 November, 2019.

SEMINGGU selepas kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai, Pakatan Harapan (PH) hilang rentak sehingga langkahnya sumbang untuk memastikan kerusi Parlimen itu kekal dalam pegangannya.

Sumber jentera kempen PH mengaku kempen mereka terganggu gara-gara rakaman video Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu memberitahu penyokong Umno bahawa beliau “terkontang-kanting melawan DAP” di negeri yang ditadbirnya.

“Video Faizal sudah tentu ada kesan pada undi Cina. Pemimpin DAP sekarang turun padang dan menyeru kepada penyokong mereka supaya tumpukan perhatian untuk menang dulu di Tanjung Piai,” kata seorang pegawai kempen PH.

“Selepas pilihan raya kecil ini mereka akan uruskan isu Faizal,” katanya yang enggan didedahkan identiti.

Kawasan Parlimen Tanjung Piai mempunyai 42% pengundi Cina.

Sejak kempen bermula pada 2 November lalu, penyokong DAP sudah kecewa dengan pertelingkahan antara parti mereka dengan Bersatu. Namun mereka keluar memberikan sokongan selepas dipujuk oleh beberapa pemimpin kanan.

Selepas rakaman video Faizal muncul tiga hari lalu, pemimpin kanan DAP turun berjumpa penyokong parti untuk meredakan keadaan.

Seminggu selepas kempen PRK di Tanjung Piai, PH hilang rentak sehingga langkahnya sumbang untuk memastikan kerusi Parlimen itu kekal dalam pegangannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2019.

Imej PH yang tercemar dalam kalangan pengundi Cina nampak berbeza dengan sokongan yang diterima oleh Barisan Nasional. Jentera BN mendakwa mereka mendapat sambutan “luar biasa” daripada pengundi Cina.

PH bagaimanapun yakin sokongan Melayu terhadapnya makin bertambah namun tidak jelas sejauh mana ia akan mengimbangi sokongan pengundi Cina yang terhakis.

Tanjung Piai adalah kubu BN sejak kawasan Parlimen itu dibentuk dan dipertandingkan kali pertama dalam pilihan raya umum 2004, yang dimenangi calon MCA.

BN hanya kalah di Tanjung Piai dalam pilihan raya umum yang lalu, itu pun dengan majoriti 524 undi.

BN kalah pada Mei 2018 kerana peralihan 64% pengundi Cina kepada PH walaupun ia kawasan MCA dan calonnya Wee Jeck Seng sudah dua penggal jadi ahli Parlimen.

Pegawai strategi PH mendedahkan mereka perlu mengekalkan sokongan pengundi Cina yang tinggi sekiranya mahu menang sekali lagi.

PH juga perlu menambah sokongan pengundi Melayu, yang berjumlah 57% daripada 52,986 pengundi. Dalam PRU14, PH mendapat 32% undi Melayu.

Undi Melayu

Peralihan penyokong DAP akan menyaksikan kemerosotan lebih banyak undi daripada pengundi Cina untuk PH dan meningkatkan peluang BN merampas semula Tanjung Piai.

Namun pengundi Melayu terutamanya di kawasan Kukup mula menerima PH, tidak seperti sebelum ini.

Perubahan sikap ini dipercayai kesan rekod perkhidmatan bekas wakil rakyat Md Farid Md Rafiq yang meninggal dunia pada 21 September lalu serta kedudukan PH sebagai kerajaan di negeri dan persekutuan.

“Sumbangan dan kerja arwah membuka mata dan hati orang kampung yang dulu mengundi BN kepada PH,” kata Rosman Abdullah, 66, dari Kampung Seri Bunian.

“Mereka nampak macam mana dia tolong sekolah dan kampung tak kira kampung itu kampung Umno atau tidak. Dia rajin turun ke kampung,” kata pesara itu.

Tanjung Piai adalah kubu BN sejak kawasan Parlimen itu dibentuk dan dipertandingkan kali pertama dalam pilihan raya umum 2004, yang dimenangi calon MCA. – Gambar The Malaysian oleh Hasnoor Hussain, 11 November, 2019.

Dalam tempoh tidak sampai setahun setengah sebagai wakil rakyat, Farid mendapatkan bantuan dan peruntukan RM19 juta untuk pembangunan di kawasan itu terutamanya kemudahan untuk nelayan dan pelancongan.

Sumbangan Farid itu disebut oleh pemimpin PH dalam kempen mereka dalam kalangan pengundi Melayu. Mereka mengingatkan pentingnya PH dikekalkan di Tanjung Piai untuk kesinambungan pembangunan tersebut.

Kawan Rosman, Osman Yatim berkata ada perubahan ketara daripada segi persepsi penduduk kampung yang tua dan muda terhadap PH.

“Semua orang kampung nak pembangunan untuk kampung dia berkembang. Mereka nampak kerja Farid dan sekarang mereka lebih terbuka kepada kerajaan PH,” katanya.

Namun di sebalik penerimaan lebih baik pengundi Melayu terhadap PH, jentera parti seperti Wan Sharani Wan Abdul Jalil tidak pasti sejauh mana ia nanti akan diterjemahkan sebagai undi.

Ini kerana pasak Umno yang kuat dalam kalangan penduduk kampung, terutamanya golongan tua yang masih segan dilihat sebagai penyokong PH.

“Retorik kaum yang BN mainkan masih kuat, terutama terhadap DAP,” kata Wan Sharani, yang mengendalikan operasi di tiga pusat daerah mengundi majoriti Melayu di Kukup.

“Kita jumpa pengundi khususnya orang muda yang kata dia akan undi kita, tapi dia kata dia sokong senyap-senyap. Dia tak nak sokong kita terang-terang macam datang program ceramah.

“Walaupun dijangka ada penambahan sokongan Melayu kita masih tak tahu cukup atau tidak. Kita masih kena kerja kuat-kuat,” tambahnya. – 11 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen