Berjasa nafi terima dana daripada Amanah untuk PRK


Berjasa menafikan parti itu mempunyai hubungkait dengan Amanah apatah lagi menerima dana untuk bertanding dalam PRK Tanjung Piai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2019.

BARISAN Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) hari ini menafikan parti itu mempunyai hubungkait dengan Parti Amanah Negara (Amanah) apatah lagi menerima dana daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Perhubungan Berjasa Johor Mohd Izzul Hafizuddin Mohd Solehuddin berkata justeru itu, satu laporan polis akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian pada petang ini berhubung dakwaan mengenai perkara itu yang tular setelah dimuatnaik di Facebook beberapa hari yang lalu.

“Berjasa amat kesal dengan politik keji yang dimainkan oleh pihak tertentu dalam kempen PRK Tanjung Piai dan ingin menggesa agar semua pihak dapat bertanding secara sihat dengan menolak politik fitnah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Antara dakwaan akaun Facebook itu termasuk wakil Berjasa digunakan untuk memecahkan undi Melayu sehingga membuatkan orang Melayu tidak mengundi kerajaan selain Berjasa digunakan sebagai talian hayat Amanah dan DAP. – Bernama, 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen