Tanjung Piai hanya ujian, Gerakan sasar PRU15


Khoo Gek San

Gerakan meletakkan timbalan setiausaha agung parti itu Wendy Subramaniam, 38, sebagai calon bertanding dalam PRK Tanjung Piai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 3 November, 2019.

GERAKAN berada di Pilihan Raya Kecil (PRK) di Tanjung Piai tidak semestinya untuk menang tetapi bersedia bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata presiden parti Dr Dominic Lau.

Selepas keluar Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lalu, parti perlu menilai kekuatan dan kelemahan serta memastikan “orang tidak lupa”.

“Gerakan tidak boleh menunggu sehingga PRU15 untuk bertanding. PRK Tanjung Piai akan membantu kita mengenal pasti masalah.

“Ini salah satu sebab kenapa Gerakan memutuskan untuk bertanding,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Parti itu meletakkan timbalan setiausaha agungnya Wendy Subramaniam, 38, sebagai calon.

Gerakan yang pertama kali menyertai BN pada awal 1970-an meninggalkan gabungan pada Jun tahun lepas selepas hilang semua 11 kerusi Parlimen yang bertanding pada PRU14.

Lau berkata pergerakan parti itu keluar dari BN sebagai satu perjalanan untuk “menyegarkan” parti bagi menghadapi PRU15 yang mana ia digambarkan sebagai “matlamat utama”.

“Memandangkan Gerakan telah memutuskan untuk menghantar calon pada PRK itu, kami perlu berusaha sehabis baik. Semua orang mahu menang di medan perang. Jika kita kalah, kita ambil ia sebagai pengalaman kerana matlamat utama Gerakan adalah PRU15,” katanya.

PRK Tanjung Piai yang diadakan pada 16 November akan membantu parti mengukur tahap kesediaan mereka untuk PRU15 dan mengkaji semula prestasi kepimpinan dan operasi parti.

Sama pentingnya menjaga Gerakan di mata orang ramai selepas menyembunyikan diri sejak keluar dari BN.

“Terdapat lapan PRK sebelum ini (sejak PRU14) tetapi Gerakan tidak hadir dan mengambil bahagian. Kami bimbang rakyat akan lupakan Gerakan.

“Akhirnya Jawatankuasa Pusat memutuskan untuk menghantar calon di PRK Tanjung Piai,” katanya.

Presiden Parti Gerakan Dr Dominic Lau berkata parti itu menyertai PRK Tanjung Piai bukan untuk menang tetapi untuk persediaan berdepan PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 November, 2019.

Lau dipilih sebagai presiden dalam pemilihan parti pada November lalu.

Menurutnya, selepas mengambil alih kepimpinan, beliau menyusun semula parti untuk memperkuatkannya.

Sekarang sudah tiba masanya untuk menguji kekuatan parti dalam PRK berkenaan.

“Ia akan menjadi ujian litmus. Kami tak bersedia untuk lapan PRK sebelum ini tetapi kami bersedia untuk PRK kesembilan ini,” katanya. 

Gerakan sebagai “kuasa ketiga”

Lau berkata Gerakan akan meletakkan parti itu sebagai “kuasa ketiga” untuk menarik pengundi yang tidak menyokong sama ada PH atau BN.

Beliau berkata rakyat tidak berpuas hati dengan PH kerana gagal memenuhi janji pilihan raya.

“Gerakan akan mengadakan kongres tahunannya di Johor seminggu sebelum hari mengundi PRK Tanjung Piai,” katanya.

Beliau menggesa perwakilan untuk terus berada di sana selepas pertemuan pada 9 November dan kempen untuk Wendy.

Karmaine Sardini dari PH yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai dan Wee Jeck Seng dari MCA merupakan pesaing utama dalam pertembungan enam penjuru.

Selain Wendy, turut bertanding presiden Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) Dr Badhrulhisham Abdul Aziz dan calon bebas Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Penamaan calon telah diadakan semalam menandakan permulaan kempen selama 14 hari.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Dr Md Farid Md Rafik, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, kerana masalah jantung pada 21 September lalu.

Pada PRU14 Md Farid mewakili PH memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi). – 3 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen