Peserta Kongres Maruah Melayu alami keracunan makanan 


Kongres Maruah Melayu yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2019

118 individu yang hadir pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam hari ini mengalami keracunan makanan dipercayai selepas mengambil hidangan yang disediakan penganjur, lapor Harian Metro.

Pengarah Kesihatan Selangor Dr Khalid Ibrahim dipetik sebagai berkata, mangsa kebanyakannya terdiri daripada penuntut universiti yang hadir pada kongres berkenaan mengalami simptom muntah dan cirit birit.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.15 pagi dan lima ambulans bersama petugas perubatan kemudiannya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Saringan awal mendapati, seramai 27 pesakit diklasifikasikan dengan tag kuning manakala 91 lagi tag hijau dan tiada pesakit diberikan tag merah.

“Jabatan Kecemasan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Hospital Shah Alam (HSA) diletakkan dalam status berjaga-jaga jam 11.50 pagi untuk menerima mangsa kritikal dan separa kritikal yang dikenal pasti pasukan kecemasan di lokasi.

“Pesakit tag hijau diberikan rawatan di lokasi dan dibenarkan pulang manakala tag kuning dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya. – 6 Oktober, 2019



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen