Kerajaan tidak kuat kemelayuannya lagi, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut menggesa orang Melayu mengubah cara berfikir dan cara hidup menjadi lebih rajin dan positif.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2019.

ORANG Melayu tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan kerana walaupun kerajaan masih dipimpin orang Melayu namun realiti politik hari ini menyebabkan semangat kemelayuannya tidak sekuat dulu, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Saya hendak mengaku di sini, kerajaan walaupun dipimpin oleh orang Melayu tetapi kemelayuannya tidak kuat seperti dulu.

“Kita terpaksa ambil kira perasaan orang lain. Kalau kita tidak ambil kira, datang pilihan raya, kita akan kalah.

“Ini hakikat dalam negara kita,” katanya dalam ucapan di Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, hari ini.

Jelas Dr Mahathir, apa yang beliau katakan itu “mungkin tidak senang didengari” tetapi itulah realitinya dan realiti itu akan diwarisi oleh generasi muda.

Justeru, beliau mengulangi gesaan yang ditekannya berkali-kali sepanjang ucapannya supaya orang Melayu mengubah cara berfikir dan cara hidup menjadi lebih rajin dan positif.

“Selagi kita tidak tukar cara hidup kita, selagi kita tidak sanggup bekerja menghadapi cabaran semasa pekerjaan, selama itulah kita akan ketinggalan.

“Tetapi kita lega kerana kononnya kerajaan akan tolong kita,” katanya, sambil mengingatkan harapan kepada kerajaan itu tidak semestinya akan memberi hasil.

Menurut Dr Mahathir, orang Melayu adalah kumpulan penduduk terbesar di Malaysia iaitu tetapi mereka berpecah kepada banyak kumpulan kecil sehingga menyebabkan mereka gagal memegang kuasa politik.

Perpecahan itu menyebabkan tiada mana-mana kumpulan Melayu secara sendiri dapat menarik sokongan rakyat sehingga lebih 50%, menyebabkan mereka bergantung pada orang lain, katanya.– 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen