DR Mahathir Mohamad mempertahankan kehadirannya di Kongres Maruah Melayu kerana sebagai seorang Melayu, katanya, beliau berhak untuk datang, walaupun ada pihak yang berpandangan sebaliknya.
Perdana menteri berkata perhimpunan orang Melayu hari ini bukan atas nama parti politik atau mana-mana kumpulan sebaliknya semata-mata untuk membincangkan nasib dan masa depan orang Melayu.
“Sebagai orang Melayu, saya berhak hadir,” katanya, membuka ucapan pada kemuncak kongres yang berlangsung di Shah Alam.
Beberapa pemimpin politik termasuk daripada P Ramasamy dari DAP sebelum ini mendakwa kongres itu bertujuan melonjakkan sokongan kepada Dr Mahathir supaya terus jadi perdana menteri dan tidak menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar Ibrahim.
Anwar tidak hadir pada kongres hari ini.
Beberapa pemimpin politik Umno dan PAS turut hadir antara Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.
Dr Mahathir, yang juga pengerusi Pakatan Harapan, sebelum ini turut disaran supaya jangan hadir kerana sebagai perdana menteri beliau adalah pemimpin untuk semua kaum.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata sebagai seorang yang memenuhi takrif Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan – yang beragama Islam, mengamalkan adat budaya Melayu, bertutur menggunakan bahasa Melayu – beliau adalah seorang Melayu dan boleh hadir pada kongres ini.
Kongres ini dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Penganjurannya tiga minggu selepas perhimpunan anjuran Umno dan PAS sebelum ini dianggap sebagai jawapan balas kepada kerjasama politik dua parti Melayu itu.
Dalam ucapannya membuka kongres, Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres Maruah Melayu Prof Emeritus Dr Zainal Kling berkata Dr Mahathir dijemput kerana kedudukannya sebagai pemimpin Melayu nombor satu di negara ini.
“Dr Mahathir mempunyai kedudukan untuk melaksanakan pelbagai tuntutan yang kita ingin sampaikan,” kata Zainal. – 6 Oktober, 2019.
Komen