Kongres Maruah Melayu bertujuan raih sokongan kepada Dr Mahathir, kata Ramasamy


P Ramasamy berkata kongres itu usaha pemimpin Umno tertentu untuk memastikan pelan peralihan kuasa Pakatan Harapan tak jadi kenyataan.

KONGRES Maruah Melayu yang diadakan hari ini hanya bertujuan melonjakkan sokongan politik kepada Dr Mahathir Mohamad supaya terus menjadi perdana menteri dan tidak menyerahkan kuasa kepada Anwar Ibrahim seperti dijanjikan, kata P Ramasamy.

“Terdapat usaha terang-terangan untuk mengumpulan sokongan dalam kalangan Bersatu dan daripada luar (Pakatan Harapan) untuk menyokong Dr Mahathir daripada tidak mematuhi pelan peralihan kuasa Pakatan Harapan.

“Secara asasnya, KMM hanyalah ingin melonjakkan sokongan kepada Dr Mahathir daripada menyerahkan kuasa kepada Anwar,” kata timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu hari ini.

Pemimpin DAP itu berkata kongres itu adalah hasil cetusan idea beberapa pemimpin yang keluar Umno dan masuk Bersatu selepas pilihan raya lepas.

Tanpa menamakan mereka, Ramasamy berkata bekas pemimpin Umno ini menggunakan empat universiti awam untuk berselindung dalam penganjuran kongres itu.

Katanya lagi, tujuan mereka mengadakan perhimpunan itu adalah untuk merapatkan diri dengan individu berkuasa dalam PH terutamanya Dr Mahathir.

“Perkembangan kleptokrasi kroni yang perlahan tetapi sedang berlaku ini, pemimpin atau penganjur ini yang tidak mendapat manfaat ekonomi buat seketika, sekarang mengharapkan gula-gula ekonomi daripada kerajaan PH.

“Apa lagi cara terbaik untuk tunjukkan kehadiran atau kepentingan mereka selain daripada menganjurkan kongres ini, menjemput Dr Mahathir memberikan ucap tama dan menyediakan bayangan berkecuali dengan menjemput Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Kongres ini sebenarnya tak berkecuali,” katanya.

Ini adalah kali kedua Ramasamy mengecam kongres itu sejak beberapa hari lepas.

Pada Jumaat, beliau berkata kongres itu adalah agenda politik untuk menyatukan Dr Mahathir dan PAS, terbukti apabila Anwar yang juga presiden PKR dan calon perdana menteri seterusnya PH tidak dijemput secara rasmi.

Majlis pagi ini dianjurkan Pusat Sumber Kajian Kecemerlangan Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama UiTM, UPM dan UPSI.

Penganjur berkata Dr Mahathir yang akan memberikan ucap tama dijemput atas kapasiti pemimpin parti Melayu.

Pengkritik bagaimanapun mengecam penganjuran itu, berkata Dr Mahathir sepatutnya mewakili semua warga Malaysia selaku perdana menteri.

Sementara itu, Anwar pula berkata beliau harap ucapan Dr Mahathir akan membawa mesej untuk semua rakyat Malaysia.

Beliau juga mendedahkan tidak menerima jemputan ke kongres itu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga akan hadir manakala Umno akan diwakili Setiausaha Agung Annuar Musa.

Kongres itu dianjurkan selepas Umno dan PAS mengesahkan kerjasama politik rasmi bermatlamat menyatukan orang Melayu untuk berdepan pilihan raya umum akan datang. – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen