Umno hantar wakil ke Kongres Maruah Melayu


Mohd Farhan Darwis

Umno menganggap kongres itu adalah anjuran institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan parti itu akan menghantar wakilnya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 3 Oktober, 2019.

UMNO memutuskan akan menghantar wakil parti untuk menghadiri Kongres Maruah Melayu yang akan berlangsung Ahad ini, kata presidennya Ahmad Zahid Hamidi.

Umno akan diwakili Setiausaha Agung Annuar Musa dan beberapa pemimpin lain, kata Zahid yang menambah beliau sendiri tidak dapat hadir perlu menghadiri acara parti.

“Majlis Tertinggi (MT) baru semalam menerima jemputan untuk presiden dan MT hadir ke Kongres Maruah Melayu.

Jelasnya, Umno memutuskan demikian kerana kongres itu adalah anjuran institusi pengajian tinggi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kita rasakan kongres anjuran IPTA dan NGO maka kita merasakan keterlibatan Umno akan memberikan sedikit sumbang saran untuk menghormati penganjuran berkenaan,” katanya lagi.

Beliau bercakap dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sementara itu, Annuar dalam kenyataannya berkata parti itu berlapang dada menerima jemputan berkenaan sebagai parti terbesar Melayu dan pelopor kerjasama dengan PAS.

Parti itu ingin mengikuti perbincangan menyentuh kepentingan orang Melayu dan negara, katanya.

Kongres itu dijadualkan berlangsung pada 8 pagi, 6 Oktober depan di Stadium Melawati, Shah Alam.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA dan Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Putra Malaysia.

Ketua Eksekutif Sekretariat Kongres itu  Zainal Kling dilaporkan berkata, lima bidang utama yang akan ditumpukan adalah termasuk aspek politik, ekonomi, pendidikan, kebudayaan dan agama.

PAS juga sudah menyatakan kesudian untuk hadir ke program berkenaan yang akan menampilkan ucapan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. – 3 Oktober, 2019.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen