Maruah Melayu bergantung pada diri sendiri, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berucap pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Malawati, Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2019.

MARUAH Melayu tidak akan terpelihara kalau orang Melayu sendiri tidak mahu berusaha keras meningkatkan kemajuan diri mereka sendiri, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dalam amanatnya pada Kongres Maruah Melayu hari ini, perdana menteri menegaskan orang Melayu mesti mengambil langkah berani membuang segala sikap negatif, kalau tidak mahu dipandang remeh oleh orang lain di tanah airnya sendiri.

“Maruah kita hanya boleh dipulihkan dan ditingkatkan dengan kita memulihkan diri kita sendiri,” katanya, dalam ucapannya pada acara kemuncak kongres.

Pengerusi Bersatu itu mengingatkan orang Melayu bahawa mereka tidak boleh hanya meminta bantuan tetapi harus juga berusaha untuk memperbaiki kehidupan sendiri.

“Harus kita ingat dalam al-Quran disebut Tuhan tak akan tolong melainkan kita berusaha memperbaiki nasib kita,” katanya.

Dr Mahathir merumuskan maruah orang Melayu dipandang hina kerana sikap mereka sendiri.

“Saya percaya perhimpunan ini bertujuan kita ambil tindakan oleh kita sendiri untuk memperbaiki nasib kita.

“Sebenarnya banyak kita lakukan kesalahan yang menyebabkan kita ditekan dan maruah kita dihina, dipandang rendah kerana kesalahan kita sendiri,” kata Dr Mahathir.

Semasa membuka ucapannya, Dr Mahathir berkata amanat beliau itu ditujukan kepada seluruh orang Melayu yang hadir dalam kongres serta mereka yang mengikuti siaran langsungnya sebagai “Melayu yang sedar”.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan banyak memberi peluang untuk orang Melayu meningkatkan kehidupan mereka namun tidak berjaya kerana kurangnya sambutan daripada orang Melayu sendiri.

“Kerajaan wujudkan banyak peluang perniagaan, banyak modal untuk dipinjam (tetapi) kalau tidak ada usaha gigih daripada penerima maka usaha ini akan gagal semula,” katanya.

Beliau berharap masalah sama tidak berulang semasa pelaksanaan dasar baharu Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030, yang beliau lancarkan di Kuala Lumpur, semalam.

Dr Mahathir mengingatkan kekayaan tidak akan datang bergolek kepada orang Melayu sebaliknya datang kepada mereka yang menggunakan peluang yang diberikan kepadanya.

Kerajaan juga katanya sedia menolong orang Melayu dengan syarat mereka mesti menerima dan sanggup menggunakan bantuan yang diberikan.

“Pihak pemerintah berjanji untuk menolong, ya kami akan menolong. Saya percaya menjadi tanggungjawab saya menolong bangsa saya tetapi bangsa saya mesti sanggup menerima dan mengguna bantuan yang diberi,” katanya.

Dr Mahathir juga berkata perhimpunan sahaja tidak akan menyelesaikan keadaan orang Melayu, kalau ia tidak diikuti dengan usaha.

“Kalau hari ini (kita) angkat sumpah memulih semula maruah kita, sumpah hendaklah disusuli kesanggupan bekerja, ambil balik kerja yang diberi kepada orang lain.

“Kita boleh ada kongres demi kongres. Sudah berapa kali kongres tapi kita di tahap itu juga. Apa kita tak turuti keputusan kongres?” tanyanya. – 6 Oktober, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen