Kerajaan timbang resolusi kongres, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis Ragananthini Vethasalam

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan dan orang Melayu sendiri mesti main peranan untuk menyelamat dan mengembalikan maruah Melayu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Oktober, 2019.

KERAJAAN akan menimbang resolusi yang dikemukakan oleh Kongres Maruah Melayu kerana ia mewakili suara hati dan keresahan orang Melayu, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun ia tidaklah pula bermakna kerajaan akan memenuhi segala tuntutan daripada kongres itu, kata perdana menteri.

“Orang Melayu bimbang masa depan mereka. Mereka bimbang mereka tidak dipandang tinggi seperti orang lain,” katanya pada sidang media selepas berucap di Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, hari ini.

“Kerajaan dan orang Melayu sendiri mesti main peranan untuk menyelamat dan mengembalikan maruah Melayu,” tambahnya.

Antara tuntutan dalam resolusi kongres iailah menghapuskan sekolah jenis kebangsaan dan digantikan dengan sekolah satu aliran.

“Itu tuntutan tetapi tidak bermakna kerajaan terikat untuk terima semua tuntutan,” jelas Dr Mahathir, yang pernah jadi menteri pendidikan antara 1974 dan 1977.

Tambah beliau, kerajaan akan melihat dan menimbang apa yang boleh dan apa yang tidak boleh ia lakukan.

Sebelum ucapan Dr Mahathir, kongres mendengar pembentangan resolusi yang menyentuh soal ekonomi, pendidikan, politik, agama dan budaya.

Resolusi itu disampaikan kepada Perdana Menteri pada penutup kongres.

Pada sidang media sama, Dr Mahathir mengulangi mesej dalam ucapannya, menepis tanggapan bahawa kongres ini bersifat perkauman.

“Kita hanya bercakap soal Melayu. Kita tidak kecam mana-mana kaum dan yang hadir juga tidak mewakili parti tetapi kerana mereka orang Melayu,” katanya.

Kongres separuh hari ini dianjurkan oleh Pusat Kecemerlangan Melayu Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ia disertai pemimpin politik dari semua parti politik Melayu, antaranya Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang, serta pelbagai pertubuhan Melayu. – 6 Oktober, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen