SUASANA rumah lama dengan atap zink berkarat menjadikan kawasan petempatan Melayu di Kampong Bharu ibarat kudis di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, keadaan itu tidak menunjukkan situasi sebenar kedudukan orang Melayu di tengah bandar.
“Waktu ini mereka tak boleh buat aktiviti pertanian di situ, tapi mereka tidak ada wang yang cukup nak bangunkan Kampong Bharu, (kawasan itu) nampak macam kudis di tengah bandar Kuala Lumpur yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit.
“Ada rumah lama zink berkarat yang tidak cerminkan kedudukan sebenar orang Melayu,” kata Dr Mahathir pada sidang media selepas berucap di Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, hari ini.

Dalam ucapannya sebelum itu, Dr Mahathir membangkitkan keadaan beberapa kawasan orang Melayu yang sekarang bukan lagi milik mereka. Beliau menyebut antaranya Kampung Kerinchi dan Kampung Sungai Penchala di pinggir Kuala Lumpur.
Beliau menggesa orang Melayu agar tidak menjual tanah mereka sebaliknya menggunakannya sebagai modal untuk membangunkan ekonomi sendiri.
“Saya rayu jangan jual tanah. Kita akan cari cara pulangan yang baik daripada tanah yang dimiliki kita. Tak payah jual.
“Kita jadikan tanah itu modal bagi kita, dengan itu kita tak dihalau keluar dari bandar kita,” kata Dr Mahathir.

Namun Dr Mahathir menjelaskan tawaran kerajaan untuk membeli tanah Melayu di Kampung Bharu tidak sama dengan apa yang berlaku di kawasan yang beliau sebut dalam ucapannya.
Perbezaannya ialah orang Melayu akan kekal di Kampung Bharu selepas kawasan itu dibangunkan.
“(Penduduk) Kampung Bharu tak jual tanah dan tinggalkan kampung mereka, mereka tidak jual kepada orang lain tapi kepada agensi kerajaan yang akan bangunkan Kampung Bharu,” katanya.
Kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan menawarkan harga RM850 kaki persegi kepada pemilik tanah untuk membolehkan kawasan itu dimajukan.
Majoriti penduduk, bagaimanapun dilaporkan melihat tawaran harga itu terlalu rendah dan enggan menyerahkan tanah milik mereka kepada kerajaan. – 6 Oktober, 2019.
Komen