Akar umbi resah skandal seks pecahkan PKR lebih parah


Nabihah Hamid

Video seks yang melibatkan (dari kiri) Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dan Haziq Abdullah Abdul Aziz membuktikan perbalahan yang makin parah dalam parti bagi Presiden PKR, Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Jun, 2019.

SKANDAL seks yang dikaitkan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali mendedahkan perbalahan yang makin parah dalam parti itu, kata ahli dan penganalisis politik.

Mereka melihat perbalahan itu berpusat pada persaingan antara Azmin dengan presiden parti Anwar Ibrahim.

Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dilihat semakin bersinar dalam politik selepas pilihan raya umum setahun lalu sementara Anwar terus dalam masa menunggu untuk jadi perdana menteri.

Seminggu selepas seorang ahli PKR mengaku beliau dan Azmin adalah dua lelaki dalam rakaman seks yang tersebar, penyokong dua pemimpin utama parti itu saling berbalah dan sindir menyindir di media sosial.

“Satu pihak tuduh pihak ini dalang (penyebaran rakaman seks) dan satu lagi nafi. Perang antara dua kem ini sudah sampai ke tahap bahawa tiada segan silu dan secara terbuka. Perpecahan yang dilihat amat dahsyat,” kata seorang ahli akar umbi, bekas ketua cabang PKR di Perak, yang enggan dikenali.

Dalam kalangan ahli PKR, mereka merasakan pemimpin parti bertelingkah tidak henti-henti walaupun pemilihan parti sudah berakhir pada November lalu.

Malah ada yang menggambarkan seolah-olah “pemilihan parti masih berjalan.”

“Perbalahan tidak selesai semenjak pemilihan. Kami bosan melihat pimpinan bergaduh. Tak menguntungkan parti langsung,” kata seorang ahli Pemuda PKR di Selangor yang hanya mahu disebut namanya Bob.

Katanya, banyak ahli parti sekarang hanya mendiamkan diri kerana kecewa melihat pemimpin di atas berbalah.

“Kita kecewa. Kita lihat ada yang ego selepas pemilihan, tak nak bersatu. Meeting pun tak pernah datang,” katanya.

The Malaysian Insight difahamkan ada pemimpin kanan PKR tidak pernah menghadiri mesyuarat majlis pimpinan pusat dan mesyuarat biro politik sejak selepas pemilihan parti tahun lalu.

Tindakan itu memberi gambaran kepada ahli akar umbi pucuk pimpinan tidak bersatu selepas pemilihan parti yang pecah belah.

Malam tadi, Anwar menolak dakwaan penyokongnya dalang di sebalik penyebaran rakaman seks itu.

Beliau menyifatkannya sebagai “merepek” dan “serkap jarang” yang tidak adil kepada parti.

Sebelum perbalahan dilihat memuncak kerana isu rakaman seks yang tersebar minggu lalu, kem dalam PKR bertelagah tentang isu buka puasa dua pemimpin utama sayap pemuda dan pelantikan bekas ahli parti Latheefa Koya sebagai ketua agensi anti rasuah.

Majlis buka puasa anjuran Timbalan Ketua Pemuda PKR Hilman Idham ditegur oleh Anwar kerana dituduh kononnya seperti pesta-pestaan sementara majlis buka puasa Ketua Pemuda PKR Akmal Nasir jadi kontroversi kerana dibuat di tempat ibadat Sikh, malah ditegur oleh Sultan Johor.

Pelantikan Latheefa yang diketahui dekat dengan Azmin dan lantang mengkritik Anwar dipertikaikan kerana kononnya tidak melalui Parlimen sedangkan tiada keperluan undang-undang untuk berbuat demikian.

Sejak seminggu yang lalu, perbalahan itu dihangatkan lagi dengan isu penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan Azmin.

Beberapa ahli akar umbi lain yang dihubungi The Malaysian Insight mahu pemimpin dan ahli PKR menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa dan menahan diri daripada menyerang antara satu sama lain.

Mereka bimbang PKR sudah beralih fokus daripada menyelesaikan isu rakyat dan pentadbiran negara kepada masalah skandal seks.

“Apa saja mengenai video sama ada betul ke tidak, biar pihak berkuasa siasat tetapi kenapa masing-masing bergaduh dalam PKR mengenai penyebaran video seks yang jijik ini?

“PKR dilihat tidak fokus isu semasa yang paling penting isi kos sara hidup,” kata seorang anggota sayap pemuda dari Kampar, Perak.

Sejak rakaman seks yang dikaitkan dengan Azmin tersebar Selasa lalu, beberapa penyokong menteri itu mula menuding jari cuba mengaitkan pendukung Anwar sebagai dalang fitnah.

Polis menahan Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang mengaku terlibat dalam skandal seks dan menuduh Azmin, untuk disiasat.

“Dalam Malaysia baharu ini, saya yakin pihak berkuasa telus tetapi saya hairan kenapa hanya Haziq yang disiasat?

“Kenapa hanya dia yang buat pemeriksaan kesihatan? Kenapa Azmin tidak?,” kata anggota PKR Kelantan yang hanya mahu dikenali sebagai Farhan.

Pada Ahad, Haziq dibawa oleh polis untuk pemeriksaan doktor di Hospital Kuala Lumpur.

Beliau kemudian dibebaskan hampir 24 jam selepas ditahan dengan ikat jamin polis.

Haziq adalah setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang juga Ketua Penerangan PKR.

Beliau menyertai PKR selepas aktif dalam kegiatan mahasiswa dan pernah mengetuai Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), badan mahasiswa yang mendukung parti itu.

Pada Ahad, Azmin tidak menolak andaian ada tangan ghaib dalam parti yang terlibat dengan penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan beliau.

Beliau mempersoalkan kenapa akaun WhatsApp yang dibuat untuk menyebarkan rakaman itu mempunyai sekian banyak nombor telefon pemimpin PKR di cabang.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menyifatkan tuduhan Azmin tidak berasas sementara parti tidak akan membuat sebarang siasatan sebaliknya menyerah penuh kepada pihak berkuasa.

Anwar kemudian menjawab andaian Azmin, meminta timbalannya itu tidak membuat sebarang spekulasi mengenai dalang penyebaran rakaman seks yang dikatakan fitnah.

Seorang ahli Wanita PKR di Terengganu memberitahu The Malaysian Insight, sokongan terhadap parti akan terjejas sekiranya ahli parti terus dibiarkan kecewa melihat pemimpin yang berpecah belah.

“Kalau besok pilihan raya, belum tentu ada jentera lagi. Sebab apa? Semua bosan dengan politik kotor.

“Ada mereka fikir isu kos sara hidup? Patutnya fokuslah. Isu video seks saya harap pihak berkuasa siasat dengan adil, siapa kita nak menghakimi,” katanya yang hanya memberikan nama Junaidah.

Penganalisis politik Dr Awang Azman Awang Pawi melihat isu skandal rakaman seks yang dikaitkan dengan Azmin adalah kemuncak konflik dalam PKR yang boleh menyebabkan parti pecah.

“Ini ibu segala konflik selepas setahun Pakatan Harapan berkuasa. Sekiranya isu ini tidak ditangani ia akan menyebabkan perpecahan. Ini krisis yang dashyat, bukan sahaja PKR tetapi pimpinan serta pengundi PH,” kata pensyarah politik dan budaya di Universiti Malaya itu.

“Selepas setahun, kerajaan PH sepatutnya diraikan dengan kejayaan kerana dasar dan hala tuju yang lebih baik tetapi nampaknya kembali kepada politik lama.

“Ini satu lagi beban kepada kerajaan,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan isu skandal seks ini akan berlarutan sampai ke pilihan raya umum akan datang.

“Tempoh 4 tahun (sehingga mandat berakhir 2023) panjang dan sudah pasti banyak lagi ledakan politik akan berlaku sama ada dalaman atau luar PKR,” katanya. – 18 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen