Anwar tak senang disoal isu video seks


Chan Kok Leong

Melempar fitnah tak akan selesaikan apa-apa, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 Jun, 2019.

DAKWAAN bahawa skandal seks melibatkan seorang pemimpin kanan parti didalangi oleh kem beliau menimbulkan rasa tidak senang kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Ahli-ahli PKR bimbang skandal terbaru ini akan membawa kepada lebih banyak perpecahan antara kem yang menyokong Timbalan Presiden PKR Azmin Ali dan kem Anwar.

“Mana bukti? Merepek apa ini? Jangan serkap jarang. Ini tak elok, fitnah dan sangat tidak adil.

“Kita simpati, tetapi tak masuk akal untuk lempar fitnah kepada orang lain tanpa sebarang bukti.

“Jangan alih isu utama. Kita ada masalah di sini dan sedang atasinya. Lempar fitnah tak akan selesaikan apa-apa,” kata Anwar, pantas mematikan soalan wartawan.

Beliau diminta menjelaskan langkah yang akan diambil untuk menyatukan parti selepas penyokong Azmin menuduh penyokong Anwar sebagai dalang di sebalik penyebaran video lucah melibatkan timbalannya itu.

Walaupun bimbang dengan skandal seks yang melanda partinya, ahli Parlimen Port Dickson itu berkata PKR masih kekal bersatu.

“Baru-baru ini saya berada di Sabah dan semua cabang hadir. Di Sarawak, pun sama. Orang tanya soalan dan sudah tentu mereka bimbang dengan apa yang sedang berlaku. Itu betul.

“Apa yang saya bimbang ialah, jangan lempar fitnah. Bergantung hanya kepada fakta dan bukti kukuh kerana ini bukannya budaya yang kita galakkan atau diterima,” jelas beliau pada majlis sambutan Hari Raya di Dewan Perniagaan dan Industri India Muslim Malaysia di Petaling Jaya malam ini. – 17 Jun, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen