TIMBALAN Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak menolak andaian terdapat tangan ghaib di dalam parti yang berusaha merosakkan reputasinya dan menjatuhkannya.
Beliau menyerahkan kepada umum untuk membuat andaian itu apabila terdapat pemimpin parti muncul menyambut Haziq Abdul Aziz apabila lelaki itu dibebaskan polis semalam.
“Saya serahkan kepada anda untuk putuskan dan tafsirkan tetapi ini tentulah amat membimbangkan dan pucuk pimpinan perlu buat keputusan berani untuk menyiasat,” katanya.
Beliau berkata demikian apabila ditanya sekiranya terdapat usaha dalaman di kalangan kem PKR berhubung tuduhan skandal seks tersebut.
Tegasnya, pucuk pimpinan PKR perlu menyiasat perkara itu dan juga penularan video terbabit melalui WhatsApp kepada pemimpin parti dalam kumpulan khas kepada pemimpin cabang.
“Saya sendiripun tidak ada (senarai nombor telefon) ini,” katanya lagi pemberita.
Haziq yang mendakwa sebagai lelaki dalam satu video lucah didakwa memaparkan Azmin itu dibebaskan dengan jaminan polis pada petang semalam.
Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman pada Jumaat ketika berada di terminal untuk berlepas ke Manila, Filipina.
Beliau disiasat bagi empat kesalahan termasuk Seksyen 504 Kanun Keseksaan berhubung kesalahan mengaibkan dengan niat untuk membangkitkan pecah keamanan.
Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 292 kanun sama iaitu menjual dan sebagainya buku-buku dan sebagainya yang lucah.
Siasatan mengikut Seksyen 377B kanun pula bagi kesalahan persetubuhan yang bertentangan dengan luar tabii.
Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan skandal seks terbabit dan menyifatkannya sebagai usaha untuk memusnahkan kerjaya politiknya. – 16 Jun, 2019.
Komen