Haziq dibawa pemeriksaan doktor pagi ini


Kalidevi Mogan Kumarappa

Peguam Ramesh Sivakumar berkata anak guamnya, Haziq Abdullah Abdul Aziz berada di Hospital Kuala Lumpur sejak pukul 8 pagi tadi. – Gambar Facebook, 15 Jun, 2019

HAZIQ Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang menuduh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali terlibat dalam skandal seks dengannya, dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, pagi ini.

Peguam Ramesh Sivakumar berkata anak guamnya berada di HKL sejak pukul 8 pagi tadi.

“Haziq dibawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan dia akan dibebaskan dengan jaminan polis selepas itu.

“Polis memaklumkan tidak akan menahannya reman kerana pengurusan tertinggi polis di Bukit Aman mengarahkan mereka untuk berbuat demikian,” kata peguam itu ketika dihubungi The Malaysian Insight

Haziq, 27, yang juga ketua Pemuda PKR Santubong, ditahan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada jam 6 petang semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, pemeriksaan ke atas Haziq perlu untuk melengkapkan proses siasatan.

“Ini adalah sebahagian daripada proses siasatan.

“Sama ada reman atau tidak, ia bergantung kepada pasukan siasatan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, dalam satu kenyataan Huzir mengesahkan Haziq ditahan semasa berada di terminal pelepasan antarabangsa dan berdasarkan tiket penerbangan, suspek dijadualkan berlepas ke Manila.

Huzir berkata Haziq ditahan oleh sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

Beliau ditahan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran rakaman seks dua lelaki melalui WhatsApp pada Selasa lalu.

Haziq minggu ini membuat pendedahan beliau adalah lelaki dalam rakaman seks yang tersebar melalui media sosial pada awal pagi Selasa.

Beliau mendakwa berhubungan seks dengan Azmin di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.

Haziq turut menggesa agensi anti rasuah menyiasat menteri itu yang disifatkannya “tidak layak memimpin”.

Haziq kemudian membuat laporan polis mengesahkan pengakuannya.

Menurut Huzir, Haziq ditahan bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabi’i (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Haziq kini digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Azmin menafikan tuduhan bahawa beliau adalah lelaki dalam rakaman intim yang tersebar, yang beliau sifatkan fitnah kejam dan jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

PKR  juga menegaskan menolak budaya politik kotor dan sementara Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penyebaran klip rakaman yang dikaitkan dengan Azmin bermotifkan politik. – 15 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen