Azmin nafi dakwaan Haziq


Ini adalah cubaan jahat dan kejam untuk musnahkan kerjaya politik saya, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali mengenai dakwaan beliau terlibat dalam sebuah rakaman video seks homoseksual. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2019.

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali menafikan dirinya adalah lelaki dalam sebuah video seks homoseksual, menyifatkan ia sebuah cubaan kejam dan jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

“Saya merujuk kepada laporan media hari ini berhubung fitnah dan tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkan saya dalam satu video lucah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azmin merujuk kepada pengakuan Haziq Abdul Aziz, setiausaha sulit kanan kepada seorang timbalan menteri yang menamakan timbalan presiden PKR itu adalah lelaki bersamanya dalam sebuah video seks homoseksual yang tular sejak semalam.

Kenyataan Azmin yang dikeluarkan hari ini selepas lebih 24 jam sebuah klip video menunjukkan dua lelaki di atas katil disebarkan kepada wartawan dalam sebuah kumpulan borak WhatsApp oleh sebuah nombor telefon tidak dikenali awal pagi semalam. 

Media bagaimanapun tidak menamakan Azmin sebagai salah seorang lelaki tersebut, manakala Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang dikenali sebagai sekutu rapat Azmin juga menyifatkan video itu sebagai palsu. 

Bagaimanapun, awal pagi tadi, Haziq mengeluarkan video 30 saat dalam akaun Facebooknya, mengakui beliau adalah lelaki dalam video tersebut dan secara terbuka menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam rakaman itu. 

Haziq juga berkata, video itu dirakam “tanpa izinnya” dalam sebuah bilik hotel di Sandakan pada 11 Mei lalu. 

Azmin dalam kenyataan tengahari tadi berkata terdapat “siri fitnah komplot jahat” sejak beberapa bulan lalu dilakukan terhadap dirinya. 

Tambahnya, terdapat “intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadhan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.”

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya gutter politics. 

“Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni.” 

Beliau tidak menamakan Haziq dalam kenyataan itu.

Azmin juga memaklumkan beliau sudah mengarahkan peguamnya bertindak ke atas individu yang membuat tuduhan jahat itu serta “pelaku lain”. 

“Saya akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat ini.

“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif,” katanya. 

Beliau juga meletakkan sepenuh kepercayaan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan mereka.  – 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen