Siapa Haziq, pemuda mengaku homoseks dengan menteri


Nabihah Hamid

Haziq Abdullah Abdul Aziz sejak beberapa lama terlibat dalam persatuan mahasiswa dan badan yang berkaitan dengan PKR. – Gambar Facebook, 12 Jun, 2019.

HAZIQ Abdullah Abdul Aziz mencetus kontroversi selepas beliau mengaku sebagai pelaku dalam video menunjukkan hubungan homoseks bersama seorang lelaki yang didakwa sebagai seorang menteri.

Namun siapakah sebenarnya gerangan pemuda berusia 27 tahun ini?

Setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Shamsul Iskandar Mat Akin itu sejak beberapa lama terlibat dalam persatuan mahasiswa dan badan yang berkaitan dengan PKR.

Haziq mula bergiat aktif di Universiti Malaysia dengan memimpin Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) sebagai presiden dan menjadi setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia. 

Persatuan mahasiswa tersebut memperjuangkan kebebasan akademik termasuk mengadakan kempen membantah undang-undang yang didakwa menyekat kegiatan mahasiswa di universiti.

Graduan undang-undang Univerisiti Malaya itu juga merupakan pengasas dan pemimpin Mahasiswa Keadilan Malaysia, sayap mahasiswa PKR. 

Haziq pernah dikenakan hukuman gantung pengajian selama satu semester pada September 2012 kerana terlibat dalam tunjuk perasaan anti PTPTN, bersama dua lagi aktivis mahasiswa iaitu Safwan Anang dan Syahid Zaini.

Namanya disenaraikan sebagai peserta Felo Perdana, sebuah program latihan anjuran kerajaan yang dimulakan di bawah pentadbiran BN. Beliau menyertai program itu pada 2017 dan ditempatkan di pejabat bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri, yang juga  ahli Parlimen Batang Sadong.

Sumber PKR di Sarawak memberitahu Haziq menyertai kempen pilihan raya Nancy pada 2013 tetapi kemudian menyokong PKR pada pilihan raya umum tahun lalu.

Beberapa foto Haziq bersama Nancy semasa kempen pilihan raya dipercayai pada 2013 turut tersebar di media sosial sejak pagi tadi.

Pemuda berasal dari Kuching, Sarawak ini seterusnya menyertai program pertukaran pelajar anjuran Malaysian-American Commission on Educational Exchange bagi tahun 2014-2015.

Haziq juga pernah mengikuti program Fellow Perdana yang diselia Nancy pada 2017. Namanya tersenarai sebagai penerima zamalah tersebut di portal data raya data.gov.my.

Dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-14, Haziq bagaimanapun kembali menyokong PKR dan dilantik menjadi setiausaha sulit Shamsul apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas Putrajaya.

Haziq juga mengambil bahagian dalam pemilihan parti dan menang tanpa bertanding jawatan ketua Pemuda PKR Santubong, Sarawak dan mendukung Najwan Halimi sebagai calon ketua Pemuda PKR. 

Di media sosial, Haziq banyak menyiarkan gambarnya berdampingan dengan pemimpin PH dan PKR, termasuk kegiatan pemimpin parti.

Paling menonjol adalah kegiatan Shamsul Iskandar termasuk lawatan ke luar negara.

Pada April, beliau turut menyiarkan gambar mengerjakan umrah di Mekah sewaktu mengikuti lawatan Shamsul Iskandar ke Arab Saudi.

Selain itu, beliau juga menyertakan gambar menyertai aktiviti PKR Santubong dan juga Sekolah Politik dan Demokrasi Sarawak.

Di media sosial itu, Haziq juga gemar berkongsi peribahasa dan mutiara kata oleh tokoh dunia, antaranya oleh Mahatma Gandhi mengenai sifat ketamakan manusia.

Video didakwa menunjukkan Haziq dan seorang menteri itu tersebar melalui beberapa kumpulan sembang di WhatsApp yang turut disertai pemimpin Umno.

Serentak dengan itu juga, pemimpin Umno terbabit yang merupakan orang kuat Najib Razak, Lokman Noor Adam tampil membuat laporan polis menggesa agar amalan tersebut disiasat.

Turut dibangkitkan dalam video tersebut adalah dakwaan urusniaga perbankan bernilai ratusan juta dolar Amerika dikaitkan dengan lelaki dalam video tersebut. 

Lokman turut membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar siasatan dapat dijalankan pihak berkuasa. 

Kalangan pemimpin Umno yang turut mengeluarkan kenyataan segera berhubung isu tersebut adalah exco sayap Pemuda Wan Muhammad Azri Wan Deris dan Setiausaha Agung, Annuar Musa. – 12 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen