AHLI Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam membuat laporan polis mengenai tiga rakaman video seks antara dua orang lelaki, yang salah seorangnya mirip seorang menteri, yang tersebar melalui Whatapss sejak awal pagi tadi.
Lokman mahu pihak berkuasa menyiasat pelaku dalam video itu kerana perlakuan seks hubungan sejenis bertentangan dengan undang-undang negara dan agama Islam, serta mereka yang menyebarkannya.
“Saya telah buat laporan polis di Putrajaya ke atas tiga video lucah hubungan sejenis dua lelaki, satu gambar dan satu rakaman suara. Saya terima video berkenaan 1 pagi tadi.
“Saya mahu pihak berkuasa menyiasat siapa hantar, menyiasat siapa pelaku kerana ia bertentangan dengan undang-undang negara. Negara kita tidak membenarkan hubungan seks sejenis,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Daerah Putrajaya pukul 3.30 petang tadi.
Beliau sebelum itu membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung bukti dua urus niaga wang melibatkan akaun seorang ahli politik.
“Pukul 2 petang tadi saya ke SPRM Putrajaya untuk buat laporan jumlah transaksi terhadap akaun seorang menteri. Siasatan terhadap pemindahan dana itu sangat besar dan tidak munasabah.
“SPRM perlu siasat bagaimana wang berjumlah lebih 700 ribu dolar Amerika dipindahkan,” katanya.
Awal hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang diminta mengulas penyebaran rakaman video itu berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya.
“Saya tidak tahu tau apa pun, saya baharu dengar, saya kena bacalah dulu.
“Kalau you (awak) boleh bagi briefing (taklimat), baguslah juga,” katanya kepada wartawan di Putrajaya.
Rakaman video itu mula tersebar selepas tengah malam tadi melalui beberapa kumpulan sembang di WhatsApp yang dibuat atas nama “jemputan jamuan raya”.
Klip video itu disebarkan selepas kumpulan sembang itu menjemput beberapa wartawan dari hampir semua media menyertainya.
Individu tidak dikenali yang mengendalikan kumpulan sembang itu turut menyebarkan dua dokumen urusniaga perbankan bernilai ratusan juta dolar Amerika. – 11 Jun, 2019
Komen