Usah sebar video seks lelaki konon mirip menteri, kata Asyraf Wajdi


Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika video berkenaan palsu pastinya dosanya lebih besar dan laknat Allah yang lebih berat akan menimpa kita.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2019

ORANG ramai tidak wajar menyebarkan rakaman video perlakuan seks yang didakwa lelaki mirip seorang menteri, kata Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki, supaya tidak menjadi dosa.

“Kita harus kekal berpegang kepada prinsip Islam untuk mengelakkan diri daripada turut menyebarkannya agar tidak dilaknat Allah dan dibuka keaiban kita di dunia dan di akhirat kelak.

“Lebih membimbangkan jika video tersebut adalah palsu; pastinya dosanya lebih besar dan laknat Allah yang lebih berat bakal menimpa kita,” katanya, dalam satu komentar di Facebook.

Asyraf, bekas timbalan menteri agama dalam pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, mengulas penyebaran rakaman video hubungan intim dua lelaki yang salah seorangnya dikatakan mirip seorang menteri kabinet.

Dalam komentarnya, Asyraf turut menyelitkan sepotong hadis Nabi mengenai pentingnya menutup aib orang lain.

Rakaman video tersebut mula tersebar selepas tengah malam tadi melalui beberapa kumpulan sembang di WhatsApp yang dibuat atas nama “jemputan jamuan raya”.

Klip video itu disebarkan selepas kumpulan sembang itu menjemput beberapa wartawan dari hampir semua media menyertainya.

Individu tidak dikenali yang mengendalikan kumpulan sembang itu turut menyebarkan dua dokumen urusniaga perbankan bernilai ratusan juta dolar Amerika.

Awal hari ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang diminta mengulas penyebaran rakaman video itu berkata beliau tidak tahu menahu mengenainya.

“Saya tidak tahu tau apa pun, saya baharu dengar, saya kena bacalah dulu.

“Kalau you (awak) boleh bagi briefing (taklimat), baguslah juga,” katanya kepada wartawan di Putrajaya.

Ahli Majlis Tertinggi Lokman Noor Adam hari ini membuat laporan polis di Putrajaya meminta pihak berkuasa menyiasat pelaku dalam video itu serta mereka yang menyebarkannya. – 11 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen