HAZIQ Abdullah Abdul Aziz, yang disiasat berhubung penyebaran rakaman seks yang dikaitkan dengan menteri Mohamed Azmin Ali, dilepaskan dengan jaminan polis petang ini.
Beliau yang ditahan petang semalam dibebaskan dengan seorang penjamin di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur pukul 5.45 petang, kata polis.
Peguam Haziq, Ramesh Sivakumar berkata polis membawa kliennya ke Hospital Kuala Lumpur pagi ini untuk pemeriksaan.
Setiausaha sulit kanan timbalan menteri itu ditahan pukul 6 petang semalam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum beliau sempat menaiki pesawat ke Manila, Filipina.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, Haziq ditahan bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabi’i (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).
Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
Haziq kini digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada timbalan menteri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Kelmarin Haziq membuat laporan polis bagi mempertahankan dirinya terhadap tuduhan bahawa pengakuannya itu bermotifkan politik dan bimbang terhadap keselamatan dirinya. – 15 Jun, 2019.
Komen