Sultan Johor kesal buka puasa Akmal Nasir di gurdwara


Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menegur Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir kerana terlibat dalam majlis berbuka puasa di kuil Sikh awal minggu ini. – Gambar Facebook, 1 Jun,2019.

MAJLIS berbuka puasa Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir di rumah ibadat bukan Islam membuka ruang kepada penyebaran dakyah agama lain kepada umat Islam, titah Sultan Johor.

Dalam satu kenyataan hari ini, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan tindakan Akmal terlibat dalam majlis berbuka puasa di gurdwara Sikh di Johor Bahru, Selasa lalu.

Titah baginda, perbuatan itu menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan umat Islam di Johor dan mempunyai implikasi serius.

“Apabila seorang Muslim secara sengaja menghadirkan diri ke kuil atas alasan untuk berbuka puasa dengan orang bukan Islam maka tindakan ini telah membuka ruang kepada golongan bukan Islam untuk mendakyahkan agama mereka kepada umat Islam tersebut,” titah Sultan Ibrahim dalam kenyataannya. 

Selasa lalu, Akmal meneruskan langkah memenuhi undangan berbuka puasa di Gurdwara Sahib Johor Bahru, sama seperti yang dilakukannya tahun lalu, walaupun dapat bantahan dan kecaman pelbagai pihak.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PKR mempertahankan majlis yang diberi nama Majlis Iftar Muhibbah, yang katanya beliau hadiri untuk “mengeratkan hubungan sesama rakyat.”

Pengerusi jawatankuasa gurdwara itu bagaimanapun kemudian mendakwa tidak maklum akan penganjuran majlis berbuka puasa berkenaan yang dikatakan dirancang seorang ahli biasa dan tidak melibatkan ahli jawatankuasa.

Sultan Johor bertitah tindakan berbuka puasa di gurdwara seperti itu boleh menimbulkan fitnah dan mudarat yang lebih besar berbanding kebaikannya.

Menyebut pepatah Melayu lulur jarum lurus kelindan, Sultan Ibrahim bertitah apa yang berlaku minggu ini akan membuka ruang kepada ibadat umat Islam yang lain dibuat dan diraikan di tempat ibadat bukan Islam.

“Sebagai ketua agama Islam bagi negeri ini (Johor), saya juga tidak boleh membenarkan apa-apa perbuatan yang boleh menyebabkan agama Islam dipandang hina atau rendah,” titah baginda.

Baginda menarik perhatian walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama namun ia tidak boleh melampaui sempadan agama Islam dan budaya yang jadi amalan selama ini atas nama membina toleransi.

Sultan Ibrahim turut menitahkan pihak berkuasa agama Johor untuk mengambil tindakan segera terhadap apa yang berlaku mengikut enakmen negeri yang sesuai.

Baru-baru ini, baginda menegur tindakan Anggota Parlimen Labis Pang Hok Liong berucap di masjid pada majlis menyampaikan bantuan Ramadan.  – 1 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen