Sumber ‘Keterpendaman Melayu’: 7 unsur nasionalisme Melayu


Ruhan Shahrir

Ini Bahagian 4 daripada 5 siri kupasan mengenai “Keterpendaman Melayu”.

Bahagian 1: PRK Semenyih dan penzahiran ‘keterpendaman Melayu’.

Bahagian 2: ‘Keterpendaman Melayu’ dan nasionalisme Melayu yang gagal

Bahagian 3: ‘Keterpendaman Melayu’ dorong ‘perkahwinan’ Umno-PAS

TERDAPAT pelbagai unsur yang membentuk nasionalisme Melayu. Unsur mana yang diangkat sebagai fokus perjuangan sesuatu kelompok itu bergantung kepada jalur ideologi pemikiran politik masing-masing.

Justeru, nasionalisme Melayu tidak bersifat tunggal. Sebaliknya pelbagai.

Tapi di sebalik kepelbagaian bentuk itu terdapat cita-cita dan aspirasi yang sama – cita, aspirasi dan keinginan untuk memastikan rupa-bentuk, identiti dan keperibadian Melayu menjadi teras utama kepada wajah politi yang dinamakan Malaysia.

Penzahiran wajah politi yang berunsurkan kemelayuan ini penting dalam upaya untuk ia membezakan dirinya dengan politi-politi lain yang wujud di dunia. Hal ini adalah sesuatu yang lazim dan wajar saja bagi mana-mana komuniti nasional – yakni kecenderungan untuk menjadikan diri nasional (national-self) berkeperibadian khas dan unik dirinya sendiri berbeza daripada komuniti nasional yang lain; atau dalam istilah bahasa Latinnya sui-generis.

Terdapat tujuh unsur nasionalisme Melayu yang menjadi sumber kepada “keterpendaman Melayu” ini.

1.  Cita-cita Politik

Unsur yang pertama adalah cita-cita politik – yakni keinginan untuk memastikan kepimpinan politik kepada politi Malaysia ini kekal di tangan Melayu.

Kepimpinan politik ini bukan hanya semata-mata jawatan perdana menteri atau timbalan perdana menteri saja tetapi juga kedudukan dan jawatan penting yang strategik di dalam Kabinet menteri, jabatan kerajaan dan juga perkhidmatan awam.

Dalam “keterpendaman Melayu” ini, unsur politik adalah yang paling penting kerana ia dipercayai sebagai kunci yang membolehkan unsur-unsur nasionalisme yang lain ditegakkan dan dilaksanakan.

2. Cita-cita Ekonomi

Unsur yang kedua adalah cita-cita ekonomi – yakni keinginan untuk memastikan agihan kekayaan negara Malaysia ini turut dapat dinikmati dengan lebih adil dan saksama di mana kemiskinan Melayu dapat dihapuskan dan jurang kekayaan antara Melayu dan bukan Melayu dapat dikurangkan.

Cita-cita ekonomi ini berakar umbi dari sejarah kolonial pecah dan perintah yang sebahagiannya meminggirkan penglibatan Melayu dalam sistem kapitalis ekonomi pasar (capitalist market-economy) sehinggakan pada awal tahun-tahun kemerdekaan, komuniti Melayu adalah antara yang paling miskin dan terkebelakang dari sudut ekonomi.

Cita nasionalisme ekonomi Melayu ini berterusan sehinggalah sekarang dan pencapaian kolektifnya masih lagi dilihat oleh ramai orang Melayu sebagai gagal. Cita-cita ekonomi ini saling bertaut dengan cita-cita politik nasionalisme Melayu.

Ini kerana cita-cita ekonomi dipercayai hanya boleh ditegakkan dan dilaksanakan jika Melayu mempunyai kuasa politik. Kehilangan kuasa politik cenderung diyakini sebagai hambatan dan penghalang untuk merealisasikan cita-cita ekonomi.

Kerana itu jugalah pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan misalnya, menjadi satu polemik dalam masyarakat Melayu dan dipropagandakan sebagai sesuatu yang negatif buat masa depan ekonomi bangsa Melayu. 

Cita-cita ekonomi adalah unsur nasionalisme Melayu yang sangat penting buat manusia Melayu dan sering kali menjadi agenda utama parti-parti politik Melayu tidak kira sama ada yang di sebelah pemerintah, mahu pun pembangkang.

Kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bahawa agenda memperkasakan ekonomi bumiputera perlu dilaksanakan dengan lebih gigih tanpa perlu meminta maaf, selepas kekalahan PH di PRK Semenyih misalnya, adalah penzahiran kepada unsur cita-cita ekonomi yang terkandung dalam nasionalisme Melayu ini.

3. Cita-cita Agama

Ketiga, unsur cita-cita agama – yakni keinginan untuk meletakkan Islam di kedudukan yang paling tinggi berbanding agama-agama lain. Kedudukan tinggi ini bukan hanya dicitakan dalam bentuk perlembagaan atau undang-undang semata-mata tetapi juga sebagai suatu sistem kepemerintahan yang perlu menjadi teras utama pengaturan hidup bernegara dan bermasyarakat.

Kerjasama rasmi yang dijalin antara Umno dan PAS misalnya adalah sebahagian daripada cita-cita agama yang terkandung di dalam nasionalisme Melayu. Kenyataan pemangku presiden Umno Mohamad Hassan yang menganggap bahawa kerjasama antara Umno dan PAS sebagai suatu langkah ke arah penyatuan ummah adalah contoh cita-cita agama yang ada dalam nasionalisme Melayu.

Begitu juga dengan kenyataan daripada menteri hal ehwal agama Islam, Dr Mujahid Yusof bahawa kerajaan PH tidak akan memberi pengiktirafan kepada gaya hidup dan amalan LGBT adalah satu lagi contoh cita-cita agama yang terkandung dalam nasionalisme Melayu yang terpendam ini.

Unsur cita-cita Islam dalam nasionalisme Melayu ini ada dan hadir dalam setiap tubuh parti-parti Melayu sama ada parti pemerintah mahupun pembangkang tapi dalam bentuk dan intensiti yang berbeza-beza.

Dari sudut sejarah awal perkembangannya, cita-cita Islam ini bukanlah unsur yang paling dominan dalam nasionalisme Melayu. Akan tetapi mutakhir ini khususnya sejak zaman kebangkitan Islam di tahun-tahun 1970an, sehinggalah ke hari ini, Islam telah menjadi unsur yang semakin penting dan berpengaruh di dalam menggembleng sentimen nasionalisme Melayu.

4. Cita-cita Budaya

Keempat, unsur cita-cita budaya – yakni keinginan untuk menempatkan budaya Melayu sebagai budaya teras yang mencirikan rupa-bentuk Malaysia.

Budaya dalam erti kata yang luas termasuklah tatacara pengelolaan kehidupan, nilai kolektif, pandangan dunia, tingkah laku, adat istiadat, warisan, tradisi dan juga artifak-artifak budaya dalam bentuk kesenian, kesusasteraan, seni bina, pakaian, makanan dan simbol-simbol kemelayuan yang terjelma darinya.

Memandangkan budaya sifatnya adalah anjal, berubah dan tidak statik, maka unsur ini senantiasa tertakluk kepada perubahan, khususnya yang diakibatkan oleh perubahan struktur dalam masyarakat.

Justeru, tumpuan cita-cita budaya ini umumnya akan difokuskan kepada keinginan untuk menempatkan artifak-artifak budaya kemelayuan yang ketara dan boleh dipegang (tangible) khususnya dalam bentuk kesenian, kesusasteraan, pakaian, makanan, seni bina, tradisi dan adat istiadat sebagai suatu bentuk simbol, perwakilan dan perlambangan utama kepada politi Malaysia.

5. Cita-cita Bahasa

Kelima, unsur cita-cita bahasa – yakni keinginan untuk mengangkat bahasa kebangsaan Malaysia iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa utama masyarakat Malaysia dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama yang digunakan seharian secara meluas.

Cita bahasa ini bukan hanya mahukan bahasa kebangsaan digunakan di sekolah kebangsaan tetapi juga di segenap ruang kehidupan awam baik di bidang politik, ekonomi, pendidikan, sosiobudaya, wacana keilmuan, universiti, undang-undang, ruang masyarakat sivil dan juga aktiviti awam yang lain.

Dari sudut sejarah perkembangan awalnya, cita bahasa ini adalah antara cita yang menjadi fokus penting buat nasionalisme Melayu dari jalur pemikiran kiri dan sering menjadi isu yang diangkat oleh tokoh-tokoh kiri seperti Ibrahim Yaakob, Burhanuddin Al-Helmy, Ishak Mohamad, Ahmad Boestamam, Usman Awang, tokoh-tokoh dalam Gerakan ASAS 50 dan nasionalis-nasionalis Melayu kiri yang lainnya.

Namun dalam perkembangan sejarah cita bahasa ini yang selanjutnya, ia seperti kehilangan pengaruh akibat dari pemenjaraan tokoh-tokoh politiknya, kooptasi oleh negara ke atas pejuangnya yang diserap masuk ke dalam struktur institusi dan birokrasi negara, keengganan bukan Melayu untuk menerima sepenuhnya cita bahasa kebangsaan ini dan juga perubahan struktural sosioekonomi yang berlaku di Malaysia. Namun begitu ia tetap ada dan tak pernah padam.

6. Cita-cita Sejarah

Keenam, unsur cita-cita sejarah – yakni keinginan untuk terus mempertahankan dan meletakkan naratif sejarah khususnya sejarah awal Malaysia sebagai bermula dari politi-politi awal kerajaan Melayu tradisional dan bangsa Melayu sebagai satu-satunya komuniti bumiputera – dari sekian banyak komuniti bumiputera lain – yang memulakan sistem pemerintahan berkerajaan di wilayah politik yang dinamakan Malaysia ini.

Dalam erti kata lain, cita-cita sejarah ini mahukan naratif sejarah Malaysia memberi keutamaan kepada sejarah bangsa Melayu manakala bangsa lain diberi peranan sampingan.

Dalam cita-cita sejarah ini juga, Melayu diangkat sebagai bangsa pentakrif kepada rupa-bentuk dan identiti Malaysia berdasarkan kepada dalil hujah bahawa bangsa Melayu adalah pemula kepada sistem kepemerintahan yang bercorak kerajaan yang institusinya kekal sehingga kini.

Bangsa Melayu menurut cita sejarah ini pernah mengecap zaman keagungan dan kegemilangannya sebelum mengalami kejatuhan dan kemerosotan akibat dijajah oleh kuasa-kuasa imperialis Eropah.

Walaupun terdapat perbezaan cita-cita sejarah yang terkandung dalam unsur nasionalisme Melayu ini – sama ada yang mahu mengangkat zaman kerajaan yang rajanya menganut agama Hindu-Buddha atau membatasinya kepada kerajaan-kerajaan yang rajanya menganut agama Islam saja – tapi yang nyata, kedua-duanya sepakat dalam cita sejarah bersama iaitu kewujudan Malaysia adalah hasil daripada kesinambungan sejarah kerajaan Melayu silam – tidak kira yang beragama Hindu-Buddha atau Islam.

Cita sejarah ini juga adalah antara sumber utama yang dijadikan hujah sandaran untuk mengabsahkan kebumiputeraan bangsa Melayu di Malaysia ini.

7. Cita-cita Beraja

Ketujuh, unsur cita-cita beraja – yakni keinginan untuk terus melindungi dan mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu.

Unsur nasionalisme Melayu ini pada hemat saya adalah unsur yang sebenarnya dibatasi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Malaysia berkonsepkan Raja Berperlembagaan di mana kuasa Raja-Raja Melayu bukanlah mutlak seperti mana zaman silam tetapi dihadkan oleh undang-undang Perlembagaan hanya kepada urusan agama Islam dan adat-istiadat Melayu saja.

Fungsi institusi Raja-raja Melayu dalam kehidupan bernegara pula lebih kepada bersifat simbolik dan keupacaraan (ceremonial). Namun begitu ia merupakan institusi yang cukup berpengaruh dan sering pula digunakan untuk memastikan beberapa unsur lain yang terkandung dalam nasionalisme Melayu terus diperjuangkan.

Terpendam tapi tak pernah padam

Tujuh unsur nasionalisme Melayu ini tidak semestinya menyatu dan padu. Pada masa yang sama pemisahan antara satu unsur dengan unsur yang lain itu tidaklah pula bersifat ketara atau beku. Terdapat kecairan dan juga saling bertindan-lapis antara satu unsur dengan unsur yang lain.

Ada kumpulan Melayu yang akan hanya memberi tumpuan kepada beberapa unsur tertentu saja dan ada yang akan memberi fokus kepada unsur lain yang ingin diperjuangkan dan ditegakkan.

Ada pula yang melihat seluruh unsur itu perlu diberi tumpuan dan diperjuangkan. Kesemua ini bergantung kepada jalur pemikiran politik masing-masing kumpulan.

Tetapi yang pasti ia ada dan hadir dalam jiwa dan perasaan sebahagian besar daripada manusia Melayu.

Begitu juga dengan kekuatan setiap unsur itu bergantung kepada konteks zaman dan situasi semasa serta perubahan-perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat yang akan mempengaruhi darjah kekuatan atau intensiti sesuatu unsur tersebut.

Walau apa pun, yang perlu disedari ialah ia ada, wujud, hadir dan masih terus membara. Dan kemungkinan besar takkan padam kerana ia sudah pun tersulam kejap ke dalam sosiopsikologi dan perasaan khususnya dalam persekitaran masyarakat Malaysia yang struktur sosial dan kehidupan hariannya masih lagi terpisah-pisah mengikut garis etnik, agama dan bahasa dan masih gagal terintegrasi sepenuhnya.

Kalau tidak semua pun unsur nasionalisme Melayu itu diperjuangkan, saya yakin sebahagian atau sekurang-kurang satu daripadanya akan masih diangkat untuk ditegakkan oleh sebahagian besar daripada manusia-manusia Melayu dengan berbagai-bagai bentuk dan cara.

Komuniti lain dalam cita-cita nasionalisme Melayu

Sementara itu kedudukan komuniti bukan Melayu, khususnya yang bukan Bumiputera dalam cita-cita nasionalisme Melayu ini bergantung kepada sejauh mana intensiti sentimen dan bentuk nasionalisme yang diperjuangkan oleh masing-masing kumpulan Melayu.

Pada umumnya komuniti bukan Melayu akan dilibatkan sekali dalam perkongsian Malaysia melalui jalinan kerjasama yang akan dirundingkan oleh elit yang mewakili kumpulan Melayu dan bukan Melayu.

Cita-cita yang terkandung dalam nasionalisme Melayu biasanya akan dilunakkan untuk menyesuaikan dan mengakomodasikan hakikat kerencaman serta kepelbagaian suku-kaum, agama, budaya dan bahasa yang wujud di Malaysia ini.

Akan tetapi sentimen nasionalisme Melayu yang dipegang oleh sebahagian besar daripada manusia Melayu umumnya punya kecenderungan untuk memastikan tujuh unsur yang terkandung di dalamnya itu terus diperjuangkan dan ditegakkan.

Unsur Melayu dan kemelayuan dicita-citakan sebagai simbol dan teras utama yang melambangkan Malaysia, manakala unsur bumiputera yang lain dan bukan bumiputera umumnya akan diposisikan sebagai pendamping atau pendukung kepada unsur teras, yakni Melayu. Begitu juga dengan dasar negara, keutamaan umumnya akan diberikan kepada Melayu dan bumiputera yang lain. 

Kecenderungan dan keutamaan ini tentunya dilihat oleh bukan bumiputera sebagai suatu bentuk diskriminasi dan ketidakadilan dalam kehidupan bernegara dan ia cenderung membuatkan bukan bumiputera merasa tidak dirangkumkan dan tersisih daripada naratif yang diangkat dan diperjuangkan oleh nasionalisme Melayu.

Justeru, persoalan seterusnya ialah bagaimana untuk membina sebuah nasionalisme yang lebih terangkum dan pada masa yang sama mengimbangi cita-cita nasionalisme Melayu agar dapat pula menangani permasalahan yang dibawa oleh “keterpendaman Melayu” itu?

Ikuti huraian pembentangan cadangannya dalam bahagian terakhir siri rencana ini esok. – 15 Mac, 2019.

* Muhammad Hafez Darwis ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen