'Keterpendaman Melayu' dorong 'perkahwinan' Umno-PAS


Ruhan Shahrir

Inilah adalah Bahagian 3 daripada 5 siri kupasan mengenai “Keterpendaman Melayu”.

DARIPADA data pilihan raya kecil (PRK) Semenyih yang saya bentangkan sebelum ini, jelas undi Melayu baik yang di kawasan kampung dan pinggir bandar mahu pun kawasan taman perumahan di bandar, majoriti daripada mereka memberikan sokongan kepada Umno.

Kenaikan peratus sokongan undi Melayu kepada Umno sebanyak hampir 24% adalah suatu bentuk penzahiran “keterpendaman Melayu” oleh sebahagian besar pengundi Melayu di Semenyih.

Setelah sembilan bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, majoriti pengundi Melayu di Semenyih menzahirkan penolakan mereka terhadap PH dengan jelas.

Apakah sebab kepada penolakan itu adalah kerana isu-isu ekonomi seperti kos hidup yang tinggi, harga barang yang masih belum turun, kutipan tol yang gagal dimansuhkan atau yang seumpamanya?

Sokongan penyokong PAS

Sebab ekonomi tentunya turut menyumbang tapi pada masa yang sama daripada data yang saya kemukakan sebelum ini, didapati pengundi kelas menengah Melayu di kawasan mengundi Bukit Mahkota dan Kantan Permai misalnya, mengalihkan sokongan mereka kepada Umno.

Data itu juga menunjukkan peralihan sokongan kelas menengah Melayu melibatkan jumlah yang cukup signifikan iaitu sebanyak 10.4% di Bukit Mahkota dan 12.3% di Kantan Permai. 

Memandang mereka datang dari kelas menengah, kemungkinan faktor ekonomi bukan menjadi sebab utama kepada peralihan sokongan, tidak boleh diketepikan.

Peralihan sokongan kelas menengah Melayu ini boleh diandaikan sebagai dukungan yang diberikan oleh penyokong PAS kepada calon Umno memandangkan PAS tidak bertanding di PRK Semenyih.

Walau apapun andaian yang dibuat, data yang dikutip menunjukkan sebahagian besar kelas menengah Melayu di Semenyih menolak PH, dan penyokong PAS di Semenyih pula memberikan kesanggupan untuk turut mengundi parti Umno, yang dulunya merupakan musuh ketat mereka.

“Keterpendaman Melayu” punca sokongan

Persoalan selanjutnya ialah apakah yang menyebabkan peralihan sokongan majoriti pengundi Melayu khususnya kelas menengah Melayu untuk menolak PH?

Apakah yang mendorong penyokong PAS sanggup untuk sama-sama memberi sokongan kepada Umno di PRK Semenyih ini?

Jawapannya seperti mana yang saya nyatakan ialah “keterpendaman Melayu”.

Ia  jugalah yang mendorong PAS untuk sanggup berkerjasama dengan musuh ketatnya sebelum ini, Umno.

Ia juga turut mempengaruhi penyokong PAS di akar umbi untuk memberi undi mereka kepada Umno dalam PRK Semenyih yang lepas.

Terkandung dalam “keterpendaman Melayu” ini adalah cita-cita dan aspirasi nasionalisme Melayu.

Walau pun kedua-dua parti Melayu ini membawa dua unsur nasionalisme Melayu yang berbeza tapi di peringkat ini, keinginan untuk menyatu itu kelihatannya kuat, sekurang-kurangnya di kalangan pimpinan kedua-dua parti.

“Keterpendaman Melayu” dimiliki oleh kepimpinan kedua-dua parti ini akhirnya dizahirkan melalui kerjasama Umno-PAS yang dimeteraikan secara rasmi pada minggu lepas.

“Keterpendaman Melayu” sebagai survival mode

Penzahiran “keterpendaman Melayu” boleh berlaku apabila situasi tersudut, tergugat atau terancam muncul, maka di kala itulah akan dizahirkan rasa “keterpendaman” yang disembunyikan sebelumnya.

Penzahirannya juga boleh dianggap sebagai satu bentuk survival mode. Suatu mekanisme yang digunakan ketika menghadapi gugatan atau ancaman yang dinilai sebagai merbahaya bagi survival sesuatu komuniti atau pertubuhan itu.

Dua pertubuhan politik terbesar Melayu dan Islam ini sememangnya dalam situasi yang terdesak dengan pelbagai dakwaan mahkamah dan juga tuduhan dari masyarakat awam.

Justeru, “keterpendaman Melayu” yang terbentuk daripada cita-cita nasionalisme Melayu itu boleh diseru, dibangkitkan dan dipropagandakan sebagai terancam.

Cita-cita nasionalisme Melayu yang sedang diancam adalah sumber sedia ada yang paling berkesan untuk digunakan sebagai alat penggembleng sokongan bagi melindungi pertubuhan masing-masing dan juga menyelamatkan diri pemimpin mereka sendiri.

Bahan propaganda daripada PH sendiri

Cita-cita nasionalisme Melayu yang terancam ini sebenarnya tidak susah untuk dipropagandakan bagi memicu sentimen dan perasaan manusia Melayu.

Bahan untuk dipropagandakan datang daripada tindakan politik parti dalam PH dan kenyataan yang keluar daripada mulut kepimpinan PH serta tingkah laku penyokong PH sendiri.

Miisalnya, isu pelantikan jawatan menteri kewangan dan peguam negara, cadangan untuk meratifikasi ICERD, rusuhan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman Seafield, tuntutan untuk mengiktiraf UEC, pemberian dana jutaan ringgit kepada sekolah dan kolej Cina, kenyataan menteri daripada DAP M Kulasegaran yang mendakwa Melayu bangsa pendatang, kes penghinaan terhadap Nabi Muhammad dan isteri beliau Aisyah serta berbagai insiden lain yang dipropagandakan sebagai usaha untuk memadamkan unsur yang ada dalam nasionalisme Melayu.

Semua kejadian ini dengan taktik dan strategi propaganda yang berkesan dan berterusan, saya percaya tentunya menimbulkan sedikit sebanyak rasa resah dan terancam yang bertumpuk-tumpuk buat sebahagian besar daripada manusia-manusia Melayu sejak daripada PRU14 sembilan bulan yang lalu.  

Menangani ledakan “keterpendaman Melayu”

Rasa resah dan terancam yang menumpuk ini tentulah ada batasnya. Lama-kelamaan sentimen nasionalisme Melayu yang terpendam itu pasti meledak dan dizahirkan.

Ledakan “keterpendaman Melayu” yang bermula di perhimpunan anti ICERD itu nampaknya diteruskan penzahirannya sehingga ke PRK Semenyih dan kemungkinan besar akan turut menjangkiti PRK DUN Rantau, pada bulan April nanti.

Justeru, untuk menangani ledakannya dan menghentikan ia daripada terus merebak, maka unsur yang membentuk nasionalisme Melayu yang terpendam ini perlulah dikenal pasti dan difahami.

Apakah unsur-unsur nasionalisme Melayu yang ada dalam “keterpendaman Melayu” ini?

Pada pandangan saya terdapat tujuh unsur utama dalam nasionalisme Melayu yang membentuk rasa “keterpendaman” dalam jiwa manusia Melayu.

Tujuh unsur nasionalisme Melayu yang terpendam ini akan saya perincikan esok. – 14 Mac, 2019.

* Muhammad Hafez Darwis adalah pembaca The Malaysian Insight.

Bahagian 1: PRK Semenyih dan penzahiran ‘keterpendaman Melayu’.

 

Bahagian 2: ‘Keterpendaman Melayu’ dan nasionalisme Melayu yang gagal

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen