PRK Semenyih dan penzahiran ‘keterpendaman Melayu’


Rencana ini adalah bahagian pertama daripada lima siri tulisan tentang ‘Keterpendaman Melayu’.

BANGSA Melayu sedang berhadapan dengan krisis moral yang cukup besar. Ini yang berlegar dalam fikiran saya setelah meneliti sepintas lalu keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih baru-baru ini dan kerjasama yang secara rasminya termeterai antara Umno dan PAS.

Ketika Umno dan PAS terpalit dengan isu rasuah, korupsi, pembohongan dan penipuan, pengundi-pengundi Melayu dan Muslim masih tetap memberikan sokongan dan dukungan mereka kepada dua parti terbesar bangsa Melayu dan umat Islam ini.

Buktinya majoriti pengundi Melayu di DUN Semenyih memberikan undi mereka kepada Umno. Tentunya yang turut memberi sokongan kepada Umno dalam PRK Semenyih ini penyokong PAS.

Pada hemat saya, ini suatu krisis moral yang dahsyat buat bangsa Melayu. Krisis moral ini pada pandangan saya berkait rapat dengan persoalan “keterpendaman Melayu”.

Sebelum saya menghuraikan faham saya tentang “keterpendaman Melayu” ini, elok kiranya kita mencermati dahulu data-data yang saya kutip daripada beberapa laporan portal berita atas talian tentang keputusan PRK DUN Semenyih yang baru lepas.

Membaca data walaupun renyah tetapi penting supaya penghujahan yang dilakukan dapat dimunasabahkan berdasarkan pembuktian yang empirikal (nyata). Fokus data saya adalah pengundi Melayu.

Demografi dan struktur penempatan di Semenyih

DUN Semenyih berlatarkan demografi pengundi yang terdiri daripada Melayu (67.71%), Cina (16.69%) India (13.73%) dan komuniti lain (1.86%).

Ciri demografi dan juga struktur perbandaran di Semenyih kurang lebih hampir sama dengan banyak kawasan separa bandar yang lain di Malaysia. Cumanya penempatan komuniti India di Semenyih relatifnya agak besar. Ini kerana faktor sejarah kolonial iaitu dahulunya Semenyih adalah antara kawasan perladangan getah yang utama di Selangor.

Struktur lainnya seperti konsentrasi penempatan komuniti Cina di kawasan pekan dan bandar, manakala tumpuan penempatan komuniti Melayu di kampung-kampung dan kawasan taman perumahan pinggir bandar adalah ciri yang umumnya turut dapat dilihat di banyak penempatan lain di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia.  

Perbandingan antara PRU14 dan PRK Semenyih

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, DUN Semenyih dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dengan majoriti 8,964 undi.

Menurut laporan portal berita Malaysia Dateline, pada PRU14 daripada 23 Pusat Daerah Mengundi (PDM), PH memenangi 13 daripadanya. Namun pada PRK DUN Semenyih yang baru lepas, bukan sahaja PH tewas dengan majoriti sebanyak 1,914 tetapi PH juga kalah di 20 PDM.

PH hanya menang di PDM Tarun, Semenyih Indah dan Bandar Rincing Seksyen 1-4 sahaja. Ketiga-tiga kawasan daerah mengundi ini pula majoriti pengundinya adalah terdiri daripada bukan Melayu.

Menurut laporan daripada pasukan wartawan Malaysiakini pula, dianggarkan PH hanya mendapat 37.73% saja undi Melayu, yakni turun sebanyak 6.52% berbanding jumlah undi Melayu sebanyak 44.25% yang diperoleh oleh PH pada PRU14 yang lepas.

Data di atas tidaklah mengejutkan. Penurunan undi Melayu sebanyak 6.5% dengan jumlah keluar mengundi seramai 73.3% berbanding 88% pada PRU14 adalah sesuatu yang boleh dijangka.

Peratusan keluar mengundi

Namun begitu jumlah keluar mengundi sebanyak 73.3% itu adalah yang paling tinggi berbanding lima PRK yang lepas – Sungai Kandis (49.4%), Balakong (43%), Seri Setia (44%), Port Dickson (58.3%) dan Cameron Highlands (68.79%).

Jumlah keluar mengundi sebanyak 73.3% itu malah melebihi jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri yang hanya menyasarkan sebanyak 70% saja keluar mengundi. Data ini sendiri – peningkatan jumlah pengundi Melayu yang keluar mengundi – sebenarnya cukup menarik untuk ditimbulkan persoalan, apakah ia juga suatu penzahiran “keterpendaman Melayu”?

Sebelum saya menghuraikan dengan lebih rinci tentang “keterpendaman Melayu” ini, ada baiknya dibentangkan beberapa data lagi supaya dapat dilihat dengan lebih jelas perubahan pola pengundian Melayu yang berlaku di PRK Semenyih.

Undi Melayu

Data yang paling menyerlah dalam PRK Semenyih ialah penambahan undi Melayu yang berjaya dikaut Umno. Dalam PRU14 yang lepas, laporan daripada Malaysiakini mencatatkan Umno hanya memperoleh 35.33% sahaja undi Melayu. Namun pada PRK Semenyih ini Umno berjaya mengutip sebanyak 59% undi Melayu, iaitu penambahan undi sebanyak hampir 24%.

Andaian yang boleh dibuat untuk memahami penambahan peratusan yang relatifnya besar ini ialah undi Melayu yang dulunya diberikan kepada PAS kini beralih kepada Umno memandangkan PAS tidak bertanding dalam PRK Semenyih. Data tentang sokongan yang diberikan oleh penyokong PAS kepada Umno ini juga menarik untuk memahami “keterpendaman” Melayu yang akan saya bahaskan nanti.

Undi kelas menengah Melayu

Menurut laporan daripada pasukan wartawan Malaysiakini juga, kawasan daerah mengundi yang paling jelas menunjukkan peralihan pola pengundian Melayu ialah di PDM Bukit Mahkota dan Kantan Permai yang merupakan kawasan taman perumahan yang majoriti pengundinya terdiri daripada kelas menengah Melayu.

Dianggarkan 8% daripada undi kelas menengah Melayu di kedua-dua kawasan tersebut telah beralih kepada Umno. Data menunjukkan di PDM Bukit Mahkota, PH mencatat penurunan peratus sokongan undi sebanyak 10.4% manakala di PDM Kantan Permai sokongan undi kepada PH merosot sebanyak 12.3%.

Memandangkan mereka ini majoritinya adalah dari kelas menengah Melayu, andaian awal yang boleh dibuat ialah persoalan ekonomi seperti kos hidup yang meningkat dan harga barang yang belum turun mungkin bukan faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka untuk menolak PH.

Laporan Malaysiakini juga turut mencatat penurunan peratusan keluar mengundi di kedua-dua kawasan tersebut sebanyak 3% lebih rendah daripada PRU14.

Selain daripada menyuluh kepada peralihan undi kelas menengah Melayu yang relatifnya besar, data di atas juga menunjukkan bahawa motivasi untuk keluar mengundi di kalangan kelas menengah Melayu di Semenyih juga rendah.

Undi di kawasan supermajority Melayu

Laporan Malaysiakini turut membentangkan data jumlah undi yang diperoleh oleh PH di semua PDM yang bermajoriti besar (supermajority) Melayu – iaitu kawasan di mana pengundi Melayu berdaftar berjumlah antara 75% - 99%.

PH tewas teruk di 15 PDM supermajority Melayu ini. Selain itu, terdapat tujuh PDM yang mana PH memperoleh undi kurang daripada 30%. Di PDM Sesapan Kelubi misalnya, PH hanya memperoleh kira-kira 25% undi.

Daripada kutipan data di atas terang lagi bersuluh menunjukkan terdapat perubahan pola pengundian yang ketara di kalangan pengundi-pengundi Melayu di DUN Semenyih.

Persoalan seterusnya ialah kenapa ia berlaku? Pada hemat saya faktor yang terselindung yang menyumbang kepada peralihan sokongan ini ialah “keterpendaman Melayu”. – 12 Mac, 2019.

* Muhammad Hafez Darwis ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen