Apa yang kita tahu tentang RCI kerugian forex Bank Negara setakat ini


Bede Hong

ESOK Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditugaskan untuk menyiasat kerugian perdagangan forex dilakukan Bank Negara Malaysia (BNM) 25 tahun lalu akan bersidang. Setakat ini suruhanjaya siasatan itu sudah mendengar keterangan 14 orang saksi.

Panel mempunyai baki lima hari lagi untuk mendengar keterangan saksi, yang akan berakhir pada 20 September. Selepas itu, suruhanjaya yang diketuai Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan akan berbincang dan membentangkan hasil penemuan siasatan kepada Yang Di-Pertuan Agong pada 13 Oktober.

RCI itu ditubuhkan selepas dakwaan bekas Penolong Gabenor BNM Abdul Murad Khalid dalam sebuah temubual dengan New Straits Times Jun lalu yang bank pusat itu rugi berdagang forex sehingga AS$10 bilion (RM 25 bilion ketika itu) dan tidak seperti yang didakwa kerajaan selama ini yang kerugian hanyalah RM10 bilion.

BNM dalam laporan tahunannya pada 1994 mendakwa kerugian forex adalah RM9.3 bilion.

Dalam satu temubual dengan The Malaysian Insight, Dr Mahathir menegaskan yang kerugian itu hanyalah berjumlah RM10 bilion dan menafikan mengetahui urus niaga yang dilakukan BNM.

Ahli politik pembangkang mengatakan yang RCI itu berunsur politik dan bermatlamat menjatuhkan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim yang kini mengetuai Pakatan Harapan (PH).

Anwar merupakan menteri kewangan sejak 1991 dan timbalan perdana menteri sejak 1993 sebelum dipecat pada 1998.

Apa yang kita tahu setakat ini:

1. Kerugian forex mencecah bilion ringgit

Peniaga forex memberikan keterangan yang jumlah didagangkan sekurang-kurangnya mencecah jutaan ringgit setiap hari, dan seorang peniaga Fizaman Noor Mohamad Nasir, 53, berkata yang perdagangan harian forex boleh mencecah sehingga AS$800 juta.

Biasanya, perdagangan dihadkan kepada AS$30 juta setiap hari, kata Fizaman, yang kemudiannya mengatakan bank pusat itu “tidak membuat untung dengan perdagangan forex”.

Murad serta beberapa pengurus pentadbiran dan peniaga menyalahkan bekas Penolong Gabenor BNM, Nor Mohamed Yakcop yang bertanggungjawab ke atas perdagangan forex BNM ketika itu kerana membenarkan had perdagangan setinggi itu.

Menurut keterangan saksi setakat ini, kerugian yang berlaku 25 tahun lalu berpunca daripada kekurangan peraturan perdagangan forex, kekurangan penyeliaan pentadbiran dan budaya tidak mempersoalkan autoriti walaupun ketika kerugian berlaku.

Kes BNM juga unik kerana tidak pernah wujud bank pusat lain yang kerugian setinggi itu dalam perdagangan forex.

2. Allahyarham Jaafar Hussein, bekas gabenor BNM hanya mengetahui kerugian itu pada 1993.

Seorang saksi, bekas auditor kontrak, Lee Siew Kuan, 85, mengatakan Jaafar hanya mengetahui kerugian itu pada penghujung 1993. Tempoh masa itu adalah lewat setahun sekiranya mengikut keterangan Murad yang mengatakan dia mengetahui kerugian itu pada awal 1992 apabila mengambil alih pengurusan Jabatan Perbankan BNM.

Lee mendakwa kerugian ketika itu mencecah RM9 bilion.

Parlimen dimaklumkan kerugian itu pada April 1994.

3. Bekas kakitangan BNM atau pegawai kontak mengatakan yang mereka tidak mengetahui sepenuhnya kerugian yang ditanggung

Perdagangan forex bank pusat itu nampaknya mempunyai jaringan besar yang berkait antara satu sama lain. Saksi termasuk auditor, peniaga dan pengurus pentadbiran yang dipanggil memberi keterangan menegaskan yang mereka melakukan kerja berdasarkan skop tugas mereka dan tidak pernah mengetahui gambaran penuh kerugian atau nampak secara jelas sehinggalah semuanya sudah terlambat.

4. Ada amaran yang tidak diendahkan BNM

Seorang bekas auditor kanan memberi keterangan yang dia memberikan amaran tentang perdagangan forex yang dilakukan bank pusat itu tidak mematuhi peraturan dan syarat sedia ada.

P. Kanason Ponthinker, 78, yang merupakan bekas pengarah/ pembantu ketua auditor untuk semua badan berkanun persekutuan dan negeri memberitahu yang dia mendapatkan nasihat daripada Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) tentang aktiviti BNM tetapi amarannya kepada pihak pengurusan tertinggi tidak diendahkan.

Apa yang kita tidak tahu:

1.Sebenarnya berapa banyak rugi dan bagaimana kerugian itu boleh berlaku

Murad tidak pernah mendedahkan dokumen yang membuatkan dia percaya kerugian mencecah AS$10bilion yang didakwanya jumlah kerugian sebenar. Malah, orang awam juga tidak boleh mendapatkan dokumen yang digunakan saksi untuk memberikan keterangan.

Hanya RCI mempunyai salinan dokumen termasuklah laporan audit kerana ia diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Tiada audit bebas boleh dilakukan untuk mengesahkan dakwaan itu. Orang awam hanya dibenarkan akses kepada keterangan dan soalan RCI kepada saksi.

Wujud juga ketidakpastian tentang fakta sebenar kes termasuklah tarikh, nama dan angka sebenar yang hanya diketahui saksi yang kini sudah berada dalam usia 70-an dan 80-an kerana mereka gagal mengingati dengan tepat.

2. Apa yang diketahui Nor Mohamed Yakcop

Bekas menteri kewangan kedua itu yang dipersalahkan oleh Murad dan bekas kakitangan BNM lain kerana didakwa membenarkan kerugian itu berlaku masih belum memberikan keterangan.

Nor Mohamed adalah pengurus Jabatan Perbankan BNM yang mempunyai kaitan dengan perdagangan tukaran asing pada 1980-an dan juga merupakan penasihat perdagangan forex BNM sejak 1991 hingga 1993.

Murad berkata ketika dia mengambil alih daripada Nor Mohamed, dia mendapati yang jumlah keseluruhan perdagangan forex mencecah AS$150 bilion. BNM mempunyai rizab sebanyak AS$20 bilion ketika itu.

3. Apa yang Dr Mahathir dan Anwar tahu, dan bila mereka tahu

Beberapa keterangan bercanggah atau terlalu kabur seperti bila Dr Mahathir dan Anwar mengetahui jumlah sebenar kerugian.

Bekas Timbalan Gabenor BNM Lim See Yan berkata Dr Mahathir tidak dimaklumkan tentang kerugian itu, setakat yang dia tahu.

Dia memberikan keterangan yang kali terakhir berjumpa Jaafar adalah pada Mac 1994 untuk membincangkan tentang kerugian itu tetapi tidak ingat bila berjumpa Anwar.

Murad memberikan keterangan yang Anwar mengetahui kerugian itu pada 1994 ketika berada dalam penerbangan ke Hawaii dan mendakwa Anwar berkata yang dia perlu meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan sekiranya rakyat mengetahui jumlah kerugian sebenar.

Anwar, bagaimanapun menafikan mengeluarkan kenyataan itu kepada Murad.

Pada RCI itu juga, bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kedua Kementerian Kewangan Clifford Francis Herbet berkata dia mengetahui kerugian itu pada hujung 1993 apabila diarahkan Anwar untuk menilai perkara itu.

Bagaimanapun, Herbet berkata dia tidak ingat tahun BNM mengalami kerugian itu.

Herbert berkata dia dan Anwar bertemu Dr Mahathir pada hujung 1993 untuk memberitahu kerugian itu.

“Saya jangka dia marah, sebaliknya dia nampak biasa,” kata Herbet mengenai Dr Mahathir apabila disoal pegawai bertugas.

Antara tugasnya, RCI bertanggungjawab menentukan kesahan dakwaan kerugian itu dan sama ada undang-undang dilanggar.

Ia juga perlu mencadangkan tindakan bersesuaian yang perlu diambil kepada mereka yang terlibat terbukti menyebabkan kerugian itu dan melindungi fakta dan maklumat kerugian. – 5 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen