Langsung: Hari kedua RCI skandal forex Bank Negara


Asila Jalil Bede Hong

SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal 1990-an diteruskan bagi hari kedua pendengaran di Istana Kehakiman di Putrajaya.

Pada sidang pertamanya 21 Ogos lalu, bekas kakitangan bank pusat itu Abdul Aziz Abdul Manaf memberitahu panel yang BNM kerugian RM31.516 bilion dari 1991 hingga 1994, tetapi tidak jelas bagaimana data kerugian itu dijadualkan. Jumlah itu lebih besar berbanding kerugian RM9.3 bilion yang didedahkan bank itu dalam laporan tahunannya pada 1994.

Bekas auditor BNM Ahmad Hizzad Baharuddin dalam keterangannya berkata bank itu “tidak ada sistem periksa dan imbang” dan “penyeliaan terhadap Jabatan Pertukaran Wang Asing lemah”.

Saksi utama, bekas penolong gabenor Abdul Murad Khalid berkata gabenor BNM sebelum ini, Jaafar Hussein tidak tahu “magnitud” kerugian itu. Murad sendiri berkata beliau hanya mengetahui betapa teruknya kerugian itu secara “sembunyi” dan menyalahkan bekas penolong gabenor Nor Mohamed Yakcop atas kegagalan tanggungjawabnya.

Nor Mohamad, yang kemudian menjadi menteri, sebelum menguruskan Jabatan Perbankan BNM memantau urus niaga forex pada 1980-an dan juga penasihat BNM bagi perdagangan forex dari 1991 hingga 1993, tahun-tahun di mana kerugian itu berlaku.

Murad, yang kemudian mengambil alih tanggungjawab forex daripada Nor Mohamad sebagai penasihat, memberitahu panel RCI yang menteri kewangan dan timbalan perdana menteri pada masa itu, Anwar Ibrahim bimbang beliau terpaksa meletakkan jawatan jika kerugian sebenar BNM didedahkan kepada umum.

RCI itu yang dipengerusikan oleh Pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan ditubuhkan untuk menentukan kesahihan dakwaan kerugian itu disebabkan spekulasi pertukaran mata wang, sama ada aktiviti BNM dalam urus niaga forex bercanggah dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau undang-undang lain, dan sama ada wujud cubaan untuk menutup kerugian itu daripada pengetahuan umum.

Ahli panel lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Said, CEO Bursa Malaysia Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Khas untuk Membantu Perniagaan Saw Choo Boon, ahli Institut Akaun Malaysia K Pushpanathan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Yusof Ismail.

The Malaysian Insight akan membawakan anda berita terkini daripada prosiding itu:

4.30pm: Fizaman adalah saksi prosiding terakhir hari ini dan pengerusi panel Mohd Sidek menamatkan sesi hari ini. Pendengaran RCI akan disambung semula pada 29 Ogos depan.

4.20pm: Pegawai yang mengendalikan RCI, Suhaimi Ibrahim menyoal bekas peniaga forex BNM, Fizaman berkaitan kenyataannya.

Suhaimi : Dagangan dilakukan dibawah pemantauan Nor Mohamed (Yackop). Semua urus niaga mesti mengikut garis panduan. Walaupun Nor memberikan arahan, siapa yang beri garis panduan?

Fizaman : Garis panduan peniaga diberikan oleh Jabatan Perbankan.

Suhaimi : Terdapat kerugian dalam dagangan forex dan menurut kenyataan kamu, kamu berkata “pihak pengurusan” tidak pernah membuat keuntungan.

Fizaman : Bukan “tidak pernah membuat keuntungan”. Maksud saya secara keseluruhan. Kedudukan mingguan atau bulanan kerana ianya tunggang-langgang.

Suhaimi : Kalau kamu tahu ada kerugian, kenapa tidak berbincang bagaimana untuk menyelesaikannya?

Fizaman : Apa yang diputuskan selepas peniaga memberikan pendapatnya bukan tanggungjawab peniaga. Walaupun gambaran pasaran adalah negatif, keputusan dibuat oleh Nor Mohamed.

4.15pm: Panel sekarang sedang mendengar keterangan saksi ketiga, Fizaman Noor Mohammed Nasir, yang merupakan peniaga forex BNM dari 1988 hingga 1989. Beliau berkata akan memberikan analisis berkaitan ekonomi dunia dan ramalan mata wang kepada peniaga forex utama dan Nor Mohamed yang ketika itu pengurus di Jabatan Perbankan BNM yang menyelia dagangan forex pada 1980-an dan juga penasihat BNM dalam dagangan forexdari 1991 hingga 1993.

“Semasa saya menjadi peniaga forex, had maksimum untuk perdagangan forex semalaman adalah sebanyak AS$30 juta (untuk peniga).

“Saya tak pasti had semalaman untuk peniaga utama (dan pengurusan). Dagangan tertinggi dalam sehari mencecah AS$800 juta,” kata Fizaman.

“Keseluruhannya, pada pandangan saya BNM tidak mendapat apa-apa keuntungan dalam dagangan forex yang dilakukan. Saya tak tahu berapa banyak yang BNM rugi melalui dagangan forex,” katanya.

3.05pm: Ahli panel Tajuddin Attan sekali lagi menyoal Essah, laporan mana yang diuruskannya. Essah adalah setiausaha ERC.

Tajuddin: “Anda berkata ketua dealer akan melaporkan forex (aktiviti) kepada Nor Mohamed yang merupakan penasihat, dan Nor melaporkan kepada ERC. Anda berada di ERC sebagai setiausaha, jadi laporan tidak dibuat oleh anda? Apa laporan yang awak buat?”

(Nor Mohamed pernah menjadi pengurus Jabatan Perbankan BNM yang menyelia urus niaga forex pada tahun 1980-an dan juga penasihat BNM mengenai urus niaga forex dari tahun 1991 hingga 1993.)

Essah: “Laporan pasaran. Had untuk peniaga, saya menyediakan dengan arahan Nor Mohamed. “

Pada masa ini, pengerusi panel RCI Mohd Sidek menafikan saksi itu.

“Pesuruhjaya mempunyai masalah (pemahaman) dan kami mempunyai saksi yang tidak ingat apa-apa,” kata Sidek.

2.30pm: Ahli panel Tajuddin Attan meminta Essah yang memantau pedagang (trader) forex bank pusat dan memastikan garis panduan diikuti, dengan berkata: “Saya tidak tahu. Forex (aktiviti) tidak dilaporkan sama sekali. Forex tidak dilaporkan oleh saya. Saya tidak tahu bagaimana ia dilakukan.”

Seorang ahli panel lain, Saw Choo Boon, bertanya di mana rekod aktiviti sedemikian disimpan dan jika ERC melihat semua rekod itu.

“ERC tidak melihatnya dan saya tidak pasti siapa yang melihatnya,” balas Essah.

2.00pm: Prosiding bersambung semula selepas rehat makan tengahari. Saksi kedua iaitu bekas pengurus dana di Jabatan Perbankan BNM, Essah Yusoff dipanggil memberi keterangan.

“Saya tak tahu bagaimana BNM menguruskan perdagangan forexnya pada 1980-an dan 1990 hingga 1993. Berkenaan dagangan forex, tujuan BNM adalah mengekalkan nilai ringgit pada harga pasaran.

“Saya tidak terlibat dalam dagangan forex ketika itu… Saya terlibat dalam mesyuarat ERC - external reserves committee (jawatankuasa rizab luar). Nor Mohamed Yakcop yang bertanggungjawab atas urusniaga forex pada masa itu,” Essah memberitahu panel.

12.30pm: Prosiding berhenti berehat sehingga jam 1.50 petang.

12.15pm: Wong ditanya mengenai kenyataannya sebelum ini yang garis panduan mengenai perdagangan forex tidak komprehensif.

Beliau menjawab: “Saya tidak boleh menjawab kerana ini sebenarnya (di bawah) jawatankuasa rizab luar, dan mengapa mereka tidak mengeluarkan dasar yang komprehensif untuk memantau perdagangan forex, saya tidak tahu, kerana ia di luar bidang kuasa saya.

“Saya rasa, ERC adalah badan dasar utama bagi urusan forex. Saya tidak terlibat. Saya tidak pasti,” katanya.

11.25am: Prosiding dimulakan semula dengan moderator panel Mohd Saifuddin bertanya kepada Wong sekiranya ada daripada Jabatan Audit ditempatkan di Jabatan Perbankan.

Wong berkata tidak. “Tiada (juruaudit) dalaman diletakkan di Jabatan Perbankan.”

Ditanya sama ada beliau sedar jika pada 1989, Ketua Audit Negara telah mengaudit Jabatan Perbankan, Wong juga menjawab tidak.

Jabatan Perbankan, ketika itu, menyelia aktiviti dagangan forex, menurut bekas penolong pengarah BNM Abdul Murad Khalid yang memberi kesaksian mengenainya pada hari pertama sidang pendengaran RCI pada 21 Ogos.

11.15am: Prosiding dihentikan selama 10 minit.

10.45am: Sementara itu, di luar bilik mahkamah, The Malaysian Insight diberitahu oleh seorang peguam, Dr Mahathir yang hadir di pendengaran itu, tidak akan memberi keterangan dalam prosiding hari ini tetapi hanya hadir untuk membuat pemantauan.

Dr Mahathir menuduh kerajaan menubuhkan RCI sebagai langkah politik untuk menjejaskan reputasinya. Skandal itu berlaku semasa beliau menjadi perdana menteri dan kini beliau mengetuai pakatan pembangkang Pakatan Harapan (PH).

10.40am: Wong memberitahu panel RCI beliau dia tidak mengetahui sama ada terdapat mana-mana pihak yang akan memperoleh keuntungan daripada urus niaga forex bank pusat itu.

“Saya tidak tahu sama ada sesiapa di BNM atau mana-mana pihak, mendapat sebarang keuntungan peribadi daripada urus niaga forex, sehingga menyebabkan kerugian besar kepada BNM. Saya tidak tahu sama ada terdapat sesiapa yang bertanggungjawab terhadap kerugian yang dihadapi oleh BNM berhubung perdagangan forex berdasarkan laporan audit, kerana ia bukan objektif audit (untuk mengetahui).”

Beliau berkata berdasarkan laporan audit 1992, RM9.2 bilion telah “hilang” daripada rizab pada 31 Disember, 1992, disebabkan aktiviti dagangan forex yang menelan belanja sebanyak RM8.5 bilion sebagaimana didakwa.

“Saya tidak boleh mengatakan tindakan mendakwa terhadap akaun rizab adalah betul. Kenyataan kewangan itu telah diluluskan oleh Ketua Audit Negara,” kata Wong yang bekerja di jabatan audit BNM dari April 1993 hingga Januari 1996.

10.35am: Wong bekas juruaudit BNM, meneruskan keterangannya dengan mengatakan pasukan pengurusan jabatan audit tidak dimaklumkan mengenai aktiviti urus niaga forex oleh BNM.

Beliau berkata “dealer” mempunyai limitasi melakukan urus niaga sehingga AS$125 juta, secara kolektif, dan sebagai satu kumpulan mereka boleh memutuskan sendiri jika ingin terlibat dalam urus niaga atau tidak.

“(Tetapi) urus niaga dengan jumlah ini dinyatakan terpulang kepada keputusan oleh ketua ‘dealer’ dan mereka yang berada di atasnya,” kata Wong.

10.04am: Bekas auditor BNM Wong memberitahu panel yang dalam laporan audit bank itu pada 1992, kerugian forex direkodkan sebagai RM8.5 bilion.

Katanya, BNM pada masa itu mempunyai dasar mengenai urus niaga forex tetapi ia tidak begitu komprehensif berdasarkan kepada pemantauan terhadap laporan audit itu.

“Ada periksa dan imbang di BNM berhubung urus niaga forex tetapi pasukan pengurusan (yang bertanggungjawab) tidak disebut. Saya tidak tahu sama ada berlaku pengubahsuaian dalam penyata kewangan dengan alasan untuk menutup kerugian bank itu dalam urus niaga forex.

“Objektif audit itu bukan untuk mencari kerugian sebenar. Berdasarkan kepada audit itu, ada jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyelia urus niaga forex oleh BNM, dan ia jawatankuasa rizab luaran,” kata Wong.

9.30am: Saksi pertama, Wong Yew Sen bekerja di BNM selama 31 tahun dari 1971 hingga persaraannya pada Oktober 2003. Wong berkhidmat di Jabatan Audit BNM dari April 1993 hingga Januari 1996 dan mengendalikan audit dalaman dan melapor terus kepada timbalan gabenor pusat bank.

“Saya tidak terlibat dalam urus niaga mata wang asing. Saya tidak mempunyai akses kepada dokumen dan maklumat mengenai urus niaga mata wang asing yang dilakukan oleh bank dari 1990 hingga 1994. Saya juga tidak terlibat dalam penyediaan laporan audit mengenai urus niaga mata wang asing,” katanya kepada panel.

9.04am: Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tiba di ruang mahkamah yang sesak dengan orang ramai bagi sesi pendengaran RCI. – 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen