Nor Mohamed mungkin jadi tumpuan RCI selepas ini


Bede Hong

Nor Mohamed Yakcop meletakkan jawatan daripada BNM bersama gabenor, Jaafar Hussein pada 1994, selepas kerugian forex terdedah kepada umum.– Gambar EPA, 21 Ogos, 2017.

BEKAS penolong gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Nor Mohamed Yakcop akan menjadi tumpuan seterusnya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), yang menyiasat kerugian bank pusat itu lebih 20 tahun dulu.

Nor Mohamed meletakkan jawatan daripada BNM bersama gabenor, Jaafar Hussein pada 1994, selepas kerugian forex terdedah kepada umum.

Dalam testimoninya kepada lima panel RCI yang diketuai pengerusi Petronas Mohd Sidek Hassan hari ini, Murad berkata Jaafar tidak mengetahui tentang skala kerugian itu.

Dalam kenyataan 21 muka suratnya hari ini, yang mengambil masa 30 minit untuk dibaca itu dipenuhi kenyataan Nor Mohamed.

Murad berkata Nor Mohamed adalah pengurus Jabatan Perbankan BNM yang mempunyai kaitan dengan perniagaan tukaran wang asing (forex) pada 1980an dan juga penasihat BNM berhubung perniagaan forex dari 1991 hingga 1993.

Murad mengambil alih tanggungjawab sebagai penasihat forex BNM daripada Nor Mohamed “sekitar akhir 1992 (dan) awal 1993”.

Murad meletakkan kesalahan kepada Nor Mohamed kerana gagal menjalankan tugasnya.

“Nor Mohamed sepatutnya melaporkan dan bertanggungjawab (untuk memberi jawapan) kepada timbalan gabenor, iaitu Tan Sri Lin See Yin dan juga kepada Tan Sri Jaafar Hussein berhubung perniagaan forex yang dijalankan BNM pada 1980an dan dari 1991 hingga 1993.

“Setahu saya, tiada polisi bertulis oleh BNM berhubung perniagaan forex. Amalan itu mengenai perdagangan forex, ditentukan oleh pengurus Jabatan Perbankan dan penasihat, iaitu oleh Encik Nor Mohamed Yakcop,” kata Murad.

Beliau juga berkata, terdapat kekurangan “check and balance” dalam perniagaan forex ketika diterajui Nor Mohamed.

Tambahnya, apabila beliau mengambil alih daripada Nor Mohamed, beliau mendapati jumlah pendedahan dalam perniagaan forex berjumlah AS$150 bilion. BNM mempunyai simpanan AS$20 bilion ketiika itu .

Murad mengimbas kembali skandal forex pada Januari dalam satu temubual dengan The New Straits Times bahawa kerugian bank pusat itu mencecah AS$10 bilion (RM43 bilion) dalam perniagaan tukaran wang asing pada 1992, angka yang berbeza dengan kenyataan rasmi RM9.3 bilion kerugian yang didedahkan BNM pada 1994.

Dengan dicadangkan pasukan khas selepas pendedahan Murad, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan pada 21 Jun bahawa RCI akan dibentuk untuk menyiasat kerugian tukaran mata wang asing.

Nor Mohamed disoal pasukan khas pada Mei.

Walau berdepan dengan skandal itu, Nor Mohamed dilantik sebagai penasihat ekonomi khas kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya memegang jawatan sebagai menteri kewangan kedua pada pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Murad berkata jumlah kerugian pada awal 1990an berjumlah AS$10 bilion atau kira-kira RM25 bilion ketika itu. BNM dalam laporan tahunannya pula menyatakan jumlah kerugian adalah RM9.3 bilion. – 21 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen