Dr Mahathir tidak dimaklumkan kerugian forex, kata bekas timbalan gabenor BNM


Bede Hong Asila Jalil

Bekas timbalan gabenor, Lin See Yan berkata dia tidak diminta untuk membincangkan kerugian forex yang ditanggung dengan Dr Mahathir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2017.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tidak dimaklumkan mengenai kerugian berbilion ringgit yang ditanggung akibat urusniaga tukaran wang asing Bank Negara Nalaysia (BNM),  kata bekas timbalan gabenor, Lin See Yan.

“Pada bila-bila masa, saya tidak diminta untuk membincangkan kerugian forex yang ditanggung BNM dengan perdana menteri,” beritahu Lim kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditugaskan untuk menyiasat kerugian pada 25 tahun lalu.

“Saya tidak tahu jika ada orang lain memaklumkan perdana menteri tentang kerugian itu.”

Kata Lin lagi, bekas timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan memanggilnya sebaik sahaja mengetahui mengenai kerugian pada 1994.

“Anwar Ibrahim adalah orang yang paling tidak puas hati dengan kerugian itu dan beliau bersetuju dengan saya bahawa sebarang open position yang masih ada harus ditutup secepat mungkin,” kata Lin.

Lin, 77, berkata dia menerima laporan audit dalaman dipanggil “Laporan Audit berkenaan Bahagian Operasi Pertukaran Mata Wang Asing Jabatan Perbankan dan Seksyen Pemprosesan Jabatan Akaun” bertarikh 21 Januari, 1994.

Katanya, dapatan laporan itu dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Audit Lembaga bank pusat itu pada 9 Mac, 1994. Jawatankuasa bersetuju yang ia harus dihantar “tanpa dibaiki” kepada setiap ahli lembaga pengarah bank untuk dibincangkan pada mesyuarat akan datang.

Lin berkata laporan itu dibincangkan pada 10 Mac tahun itu, selepas pertemuan dengan Anwar.

“Jika ingatan saya berfungsi dengan baik, Datuk Seri Anwar memanggil saya selepas saya bercakap dengan Tan Sri Jaffar Hussein (gabenor BNM) dan selepas  Jaafar memberitahu saya beliau telah berbincang dengan menteri kewangan (Anwar) tentang kerugian itu.

“Saya tidak ingat tarikh tepat saya membincangkan perkara itu dengan menteri (Anwar),” kata Lin.

Lin memperoleh sarjana dan Phd dalam bidang ekonomi dari Universiti Harvard pada 1976. Dia dilantik sebagai timbalan gabenor BNM pada 1980 dan bersara pada Julai, 1994.

“Kerugian besar” BNM kata Lin, diketahui melalui bekas juruaudit dalaman, Lee Siew Kuan “pada awal 1990-an”.

“Kemudian melalui rakan-rakan di luar negara terutamanya seorang pegawai tertinggi yang bekerja dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

“Rakan-rakan saya dari IMF beritahu yang BNM mempunyai urusniaga tukaran asing yang besar dalam beberapa mata wang, terutamanya di New York dan London, serta mengalami kerugian besar.

“Tidak disebut berapa jumlahnya tetapi mereka kata kerugian itu sangat besar.”

Lin berkata dia kemudiannya memberitahu Jaffar mengenai kerugian itu dan beliau mengesahkannya.

“Saya tidak tanya berapa besar kerugiannya dan beliau beritahu saya beliau tidak pasti.”

Lin memberitahu RCI, Nor Mohamed Yackop yang menjadi menteri kewangan kedua adalah “orang yang bertanggungjawab” dalam urusniaga forex sebagai pengurus/penasihat Jabatan Perbankan dan melaporkan terus kepada Jaffar.

Nor Mohamed aktif dalam peranan ini dari 1990 hingga 1994, kata Lin.

Bekas timbalan gabenor, Lim See Yan hadir berkata Dr Mahathir Mohamad tidak dimaklumkan mengenai kerugian berbilion ringgit yang ditanggung akibat urusniaga tukaran wang asing BNM. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 30 Ogos, 2017.

Katanya, Abdul Murad Khalid dilantik sebagai pengurus di Jabatan Perbankan pada Februari 1992 tetapi semua urusniaga forex “dikawal langsung” oleh Nor Mohamed. Kata Lin lagi, Murad “tidak terlibat dengan dagangan forex”.

“Tan Sri Jaafar beritahu saya yang Tan Sri Nor Mohamed Yackop adalah ketua peniaga,” kata Lin. Tambahnya lagi, Jaafar bersetuju dengan siasatan awal Lee dan Murad ke atas kerugian forex itu.

Lin kemudian berkata siasatan oleh Lee dan Murad mendedahkan yang BNM masih mempunyai open position dalam beberapa mata wang adalah “jauh di masa hadapan”.

“Ini maknanya bank mungkin tertakluk kepada lanjutan kerugian apabila masa untuk penyelesaian dengan rakan niaga tiba,” kata Lin.

Lin berkata Jaffar kemudian setuju untuk menutup semua open forward position.

“Saya memberitahu gabenor (Jaffar) yang Tan Sri Nor Mohamed Yackop tak sepatutnya dibenarkan untuk berurus lagi”. Semua komitmen masa hadapan berkaitan dagangan forex harus dihentikan “dengan segera”, tambahnya.

“Kata-kata akhir Tan Sri Jaffar kepada saya adalah ‘saya menyebabkan bank ini dalam haru-biru dan saya akan perbetulkannya,” kata Lin.

Dia menafikan berperanan aktif dalam urusniaga forex yang dijalankan Jabatan Perakaunan, tetapi mengingati yang Jaafar “mengubah” peranan BNM dalam operasi forex di sekitar tahun 1980-an.

Sebelum itu, tanggungjawab utama pengurusan rizab mata wang adalah bagi mengekalkan nilai rizab. Kata Lin, keselamatan dan kecairan menjadi pertimbangan utama.

“Kemudian, Tan Sri Jaffar Hussein menambah dua dimensi baru iaitu pemaksimuman untung  dan kepakaran pasaran.

Hasilnya, pendapatan luar negara BNM daripada perdagangan aktif meningkat dari 20% pada 1987 kepada 40% pada tahun berikutnya.

Jaffar meletakkan jawatan pada April 1994, mengambil tanggungjawab kerugian itu. Beliau meninggal dunia empat tahun kemudian. – 30 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen