Kenyataan bekas penasihat BNM mengenai saya bohong, kata Anwar


BEKAS timbalan perdana menteri Anwar Ibrahim berkata ia satu pembohongan mengenai kebimbangan beliau perlu melepaskan jawatan sebagai menteri kewangan jika kerugian forex Bank Negara Malaysia (BNM) pada awal tahun 1990an diketahui umum.

Beliau mengkritik bekas penolong gabenor BNM Abdul Murad Khalid yang membuat dakwaan itu, Anwar berkata “sindiran berniat jahat beliau cukup jelas – bahawa makna tersirat kata-kata saya itu ialah isu tersebut perlu ditutup.”

“Tuduhan ini adalah palsu belaka. Saya tidak pernah berkata sedemikian kepada beliau. Saya menegaskan bahawa saya tidak perlu berkata sedemikian kepada seorang petugas seperti Murad yang diarah Gabenor BNM Jaffar Hussein untuk memberi taklimat kepada saya berkenaan aspek teknikal perakaunan dan isi kandungan laporan tahunan BNM,” katanya.

Anwar yang kini pemimpin de facto PKR dan dipenjarakan atas tuduhan liwat, memberi komen terhadap kesaksian Murad pada 21 Ogos di depan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan kerugian bank pusat itu.

Murad berkata beliau memaklumkan kepada Anwar mengenai kerugian itu dua tahun selepas beliau mengetahuinya. Beliau mendakwa memberi taklimat kepada Anwar dilakukan semasa penerbangan ke Hawaii pada awal tahun 1994.

Murad, yang merupakan penasihat BNM ketika itu, berkata Anwar mengulas yang beliau mungkin terpaksa meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan jika rakyat mengetahui jumlah kerugian yang terlibat.

Anwar, yang merupakan menteri kewangan dari tahun 1991 hingga 1998, dalam satu kenyataan hari ini berkata tidak pernah membuat kenyataan seperti itu kepada Murad, dan kerap berurusan dengan Jaffar.

Beliau berkata, itu merupakan kali pertama beliau berurusan dengan orang lain (Murad) mengenai BNM.

Anwar menambah beliau berusaha menangani kerugian forex sejak April 1993, semasa menjawab di Parlimen berdasarkan angka dan maklumat dalam laporan 1992 yang diterbitkan oleh BNM dan taklimat bank pusat kepadanya.

Beliau juga melakukan perkara yang sama sekali lagi di Parlimen pada April 1994, berdasarkan laporan BNM 1993 dan yang dikemas kini, katanya.

Anwar mendakwa Murad “memusuhinya secara peribadi” sejak tahun 1999, ketika membuat akuan berkanun palsu terhadapnya.

“Akuan ini telah disiasat Badan Pencegahan Rasuah pada ketika itu dan didapati tidak berasas.

“Seorang hakim Mahkamah Tinggi mengesahkan hal ini dan berkata ‘akuan tersebut meragukan (discredited)’ apabila hakim memutuskan New Straits Times bersalah di dalam kes saman saya berkenaan satu laporan akhbar tersebut yang merujuk akuan berkenaan,” kata Anwar.

Beliau juga melahirkan kebimbangannya kerana tidak dibenarkan menghadiri pendengaran RCI, meskipun berkali-kali membuat permintaan melalui peguamnya berdasarkan fakta yang namanya disebut beberapa kali oleh saksi dalam prosiding.

“Sudah pasti saya seorang yang ada ‘kena mengena dalam perkara yang sedang disiasat’ seperti terkandung di dalam seksyen 18, Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

“Walaupun begitu saya hanya dapat mengikuti perkembangan pendengaran melalui pertemuan dengan peguam-peguam saya di Penjara Sungai Buloh.

“Saya berkata ‘apabila saya dipanggil’ kerana saya berasa amatlah tidak adil jika saksi-saksi lain dibenarkan membuat kenyataan dan dakwaan yang memudaratkan terhadap saya di hadapan Suruhanjaya walhal saya tidak dibenarkan memberi respon kepada mereka dengan cara yang sama,” katanya. – 24 Ogos, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen