Umno boikot PRK PD, kata Ahmad Zahid


Yasmin Ramlan

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan parti untuk tidak bertanding pada PRK Port Dickson. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 September, 2018.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, ini kerana peruntukan RM3.6 juta yang diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diperlukan untuk PRK tersebut sebaiknya dibelanjakan kepada rakyat. 

“Di dalam hal ini kita sedar bahawa kerajaan sedang dihimpit masalah kewangan. 

“Oleh kerana SPR mengatakan peruntukan RM3.6 juta untuk mengendalikan PRK ini, maka saya harap peruntukan digunakan kepada rakyat dengan tujuan lebih baik daripada mengadakan PRK ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat biro politik di PWTC hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, keputusan itu telah dicapai sebulat suara oleh semua parti komponen BN. 

Menurutnya, tindakan boikot itu dilakukan kerana berpendapat sesuatu PRK itu sepatutnya diadakan apabila berlaku kematian oleh penyandang kerusi tersebut dan bukan untuk memenuhi “cita-cita” individu tertentu. 

“Jika kerusi kosong bukan atas sebab kematian maka satu pertimbangan harus dilakukan terutamanya Umno. 

“Kami lihat bahawa mustahil sesuatu kerusi yang dikosongan itu hanya berlandaskan memenuhi cita-cita seseorang,” katanya. 

Ahmad Zahid Hamidi mengadakan sidang media untuk mengumumkan pendirian parti mengenai PRK Port Dickson. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 September, 2018.

Ahmad Zahid menambah, ini bukan pertama BN memboikot PRK kerana perkara sama terjadi sewaktu PRK Penanti pada 2009 atas sebab yang sama.  

Bagaimanapun, sekiranya PAS berhasrat untuk bertanding, Ahmad Zahid berkata pihaknya merasakan tiada perundingan ke arah tersebut memandangkan mereka berpendirian untuk memboikot PRK tersebut. 

Kenyataan Ahmad Zahid senada dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menyifatkan PRK Port Dickson sebagai sikap pentingkan diri.

“Umno menolak sekeras-kerasnya tindakan ‘self centric’ (penting diri) yang mendasari keputusan mengadakan PRK Port Dickson kali ini.

“Umno berasa sangat penting untuk menegaskan prinsip dan pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan tindakan mengosongkan kerusi secara sengaja semata-mata demi menjayakan cita-cita politik seseorang individu,” kata Mohamad dalam sebuah kenyataan, yang dikeluarkan sebelum mesyuarat hari ini.

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan juga menolak penyertaan Umno pada PRK Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2018.

Pada Sabtu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah menasihatkan parti itu agar tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Ini kerana katanya persepsi negatif rakyat terhadap parti masih belum pulih selain jentera parti tidak bersemangat untuk bekerja bersungguh-sungguh selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu.

“Tidak wajar, kita baru kalah. Mood orang terhadap Umno ini masih tidak baik. Jadi moral orang-orang kita pun tidak begitu bersungguh untuk bekerja dalam pilihan raya,” katanya.

Setakat ini, hanya Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan seorang calon bebas mengumumkan hasrat mahu bertanding dalam pilihan raya kecil itu, melawan calon PKR Anwar Ibrahim.

PAS sebelum ini menyatakan pendirian sedia meletakkan calon, bergantung pada keputusan Umno. Namun naib presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah semalam mengulangi pandangannya agar Anwar diberi laluan untuk menang.

“Kalau tanya saya, mungkin kita tidak akan bertanding kerana ia bukan satu keperluan memandangkan PRK Port Dickson sengaja diada-adakan untuk memenuhi kehendak individu tertentu.

“Malah, pemimpin PAS juga tidak berminat dengan kerusi berkenaan.

“Jika BN pun tidak mahu meletakkan calon, kita bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim menanglah, ” katanya, seperti dipetik Malaysiakini.

Mohd Amar bagaimanapun menegaskan itu pandangan peribadinya, pandangan sama yang beliau pernah lontarkan beberapa minggu sebelum ini.

PAS juga belum menyatakan keputusan sama ada akan bertanding pada PRK Port Dickson. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2018.

Minggu lalu, PKR mengumumkan Anwar akan bertanding kerusi Parlimen Port Dickson selepas ahli Parlimennya Danyal Balagopal Abdullah, yang juga bekas pegawai kanan tentera laut, mengosongkan kerusi itu.

Langkah Anwar bertanding di Port Dickson bagaimanapun disambut dengan sokongan berbelah bahagi dalam kalangan anggota tentera yang bertugas di bandar itu dan akan jadi pengundi awal nanti.

Danyal turut dikecam oleh Patriot apabila mengosongkan kerusi itu dengan letak jawatan untuk memberi jalan kepada Anwar bertanding pada PRK tersebut.

Badan bekas tentera itu juga menyelar PKR dan Anwar kerana memaksa pilihan raya kecil diadakan di Port Dickson dengan “menyingkirkan” satu-satu wakil rakyat bekas tentera.

Anwar Ibrahim akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson, bagi membolehkan beliau kembali ke Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 September, 2018.

Kawasan Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar dengan pecahan 42% Melayu, 33% Cina dan 22% India.

Kerusi itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Telok Kemang adalah kubu kuat BN sehinggalah dipecahkan oleh PKR pada PRU 2008 apabila calonnya Kamarul Bahrin Abbas mengalahkan bekas timbalan menteri BN, S Sothinathan. Kamarul mengekalkan kerusi itu pada PRU 2013.

Pada PRU14, Danyal menang dengan 17,710 undi mengalahkan calon BN V Mogan dari MIC dan calon PAS Mahfuz Roslan.

SPR menetapkan penamaan calon bagi PRK Port Dickson pada 29 September manakala pengundian pada 13 Oktober.  – 24 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen