Di Port Dickson, tentera tidak setuju dengan Patriot


Mohd Farhan Darwis

Dikenali sebagai bandar tentera darat, anggota tentera merupakan sebahagian daripada 7,084 pengundi awal di Parlimen Port Dickson, pada PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 19 September, 2018.

TENTERA di Port Dickson, Negeri Sembilan berbeza pendapat tentang pilihan raya kecil (PRK) kawasan Parlimen itu yang akan ditandingi oleh Anwar Ibrahim tidak lama lagi, tetapi mereka senada bahawa badan bekas tentera tidak mewakili pandangan mereka.

Ada dalam kalangan anggota tentera merasakan PRK yang diadakan empat bulan selepas pilihan raya umum ini membazir masa dan wang. Namun bagi anggota tentera yang lebih muda, mereka teruja mahu menghantar Anwar jadi wakil rakyat sekali lagi di Parlimen.

Mereka bagaimanapun senada apabila ditanya tentang Pertubuhan Patriot Kebangsaan (Patriot): “Patriot tidak mewakili seluruh tentera. Mereka tidak bercakap untuk pihak kami.”

PKR mengumumkan Anwar akan bertanding kerusi Parlimen Port Dickson selepas ahli Parlimennya Danyal Balagopal Abdullah, yang juga bekas pegawai kanan tentera laut, mengosongkan kerusi itu minggu lalu.

Keputusan itu dicemuh oleh seorang pegawai yang tidak mahu dinamakan, yang tidak nampak kewajaran PRK itu terpaksa diadakan.

“Kawan itu (Danyal) bukan mati, dia tarik diri (sebagai ahli Parlimen),” katanya.

“Faktor nak letakkan Anwar di sini sebab nak jadi perdana menteri memang tidak cantik.

“Kalau dibuat pilihan raya sekali lagi memang Anwar akan menang tapi majoriti mungkin tipis… orang awam mungkin malas nak mengundi kerana tiada kepentingan buat mereka sebab PRU14 baru habis,” katanya.

Parlimen Port Dickson mempunyai 75,212 pengundi berdaftar dengan pecahan 42% Melayu, 33% Cina dan 22% India. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 19 September, 2018.

Bagaimanapun dalam kalangan anggota tentera yang lebih muda, mereka ada pandangan berbeza kerana Anwar akan bertanding di Port Dickson.

Amran, 32, kali pertama akan mengundi di kawasan ini kerana sebelum ini bertugas di Sarawak.

“Saya lihat rakan-rakan yang muda tidak sabar-sabar untuk melihat Anwar bertanding di sini.

“Siapa tidak kenal Anwar, anggota muda memang nak minta Anwar naik (jadi perdana menteri),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau juga berharap kalau menang nanti Anwar tidak akan mengabaikan kawasan Parlimen yang menghantarnya jadi perdana menteri.

“Saya harap lepas menang, dah jadi perdana menteri jangan terlepas pandang kami di sini.

“Bangunkanlah Port Dickson, supaya menjadi lebih maju lagi sebagai pusat pelancongan terkemuka macam Langkawi,”  kata Amran, merujuk bagaimana Dr Mahathir Mohamad membangunkan pulau bebas cukai itu.

Kerusi Port Dickson yang sebelum ini dikenali dengan nama Telok Kemang adalah kubu kuat BN sehinggalah dipecahkan oleh PKR pada PRU 2008. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 19 September, 2018.

Dikenali sebagai bandar tentera darat, anggota tentera merupakan sebahagian daripada 7,084 pengundi awal di Parlimen Port Dickson, pada PRU14.

Parlimen itu mempunyai 75,212 pengundi berdaftar dengan pecahan 42% Melayu, 33% Cina dan 22% India.

Kerusi itu yang sebelum ini dikenali dengan nama Telok Kemang adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sehinggalah dipecahkan oleh PKR pada PRU 2008 apabila calonnya Kamarul Bahrin Abbas mengalahkan bekas timbalan menteri BN, S Sothinathan. Kamarul mengekalkan kerusi itu pada PRU 2013.

Pada PRU14, Danyal menang dengan 17,710 undi mengalahkan calon BN V Mogan dari MIC dan calon PAS Mahfuz Roslan.

Danyal bagaimanapun dikecam oleh Patriot apabila mengosongkan kerusi itu dengan letak jawatan untuk memberi jalan kepada Anwar bertanding pilihan raya kecil.

Badan bekas tentera itu juga menyelar PKR dan Anwar kerana memaksa pilihan raya kecil diadakan di Port Dickson dengan “menyingkirkan” satu-satu wakil rakyat bekas tentera.

Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji memberi amaran Anwar mungkin tidak akan dapat undi daripada tentera dan bekas tentera dalam PRK itu nanti.

Beberapa anggota tentera bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight, badan itu tidak mewakili seluruh tentera, apatah lagi mereka yang berkhidmat di Port Dickson.

“Patriot tidak mewakili semua askar tapi lebih kepada individu, untuk bekas askar ‘okay’, untuk yang sedang bertugas dan berkhidmat, tidak,” kata seorang anggota berpangkat kapten kepada The Malaysian Insight, dengan syarat tidak dinamakan.

Beliau berkata anggota yang sedang berkhidmat mengundi berdasarkan beberapa faktor termasuk faktor calon itu sendiri.

Pesara tentera, Rahimi, 45, melihat pandangan Patriot tidak memberikan kesan kepada usaha PKR menjadikan Anwar sebagai perdana menteri kelapan menggantikan Dr Mahathir.

“Patriot bukan tahu apa yang berlaku di Port Dickson, mereka tiada di sini, tapi di Kuala Lumpur,” katanya, yang baru sebulan bersara daripada perkhidmatan.

“Patriot itu tidak ada apa pun lah,” katanya. – 19 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen