Anwar tidak usah ke Port Dickson, elok cari kerusi lain, kata Patriot


Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji berkata pimpinan PKR mesti faham kehadiran veteran tentera di Parlimen disokong oleh ribuan veteran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2018.

KERUSI Parlimen Port Dickson perlu dikekalkan pada penyandangnya sekarang, kata sebuah pertubuhan bekas tentera dan polis, dan Anwar Ibrahim boleh cari kawasan lain, jika perlu dikosongkan untuk membolehkan beliau bertanding pilihan raya kecil (PRK).

Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot) mahu Ahli Parlimen Port Dickson Danyal Balagopal Abdullah, yang juga bekas pegawai kanan tentera laut, kekal di Parlimen untuk menyuarakan kepentingan hal ehwal tentera dan kebajikan veteran – isu yang ia sifatkan, selalu diketepikan.

“Pimpinan PKR mesti fahaman kehadiran veteran tentera di parlimen disokong oleh ribuan veteran dan dilihat sebagai wakil mereka, suara yang boleh diharapkan atas hal-hal melibatkan veteran,” kata Presiden Patriot Mohamed Arshad Raji.

Kawasan Parlimen Port Dickson disebut antara kerusi yang dipertimbangkan oleh PKR untuk Anwar kembali ke Dewan Rakyat, seterusnya membuka jalan kepada proses peralihan kuasa jadi perdana menteri seperti yang dipersetujui oleh Pakatan Harapan (PH).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Danyal mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, Morgan Velayatham dan calon PAS, Mahfus Roslan dengan majoriti 17,710 undi. Kawasan Parlimen Port Dickson merupakan sebuah kerusi campuran dengan pengundi Melayu 43%, Cina 33% dan India 22%.

Semasa Danyal menang pada 9 Mei lepas, kumpulan veteran berharap beliau akan dapat menggantikan kekosongan peranan bekas Ahli Parlimen Lumut, Mohamed Imran Abdul Hamid.

Imran dari PKR tidak bertanding kerusi Parlimen pada PRU14 apabila kerusi Lumut ditandingi oleh Amanah mewakili PH. Beliau sebaliknya bertanding kerusi negeri Bukit Chandan tetapi kalah kepada calon BN, Maslin Sham Razman.

Arshad berkata desas desus Danyal akan mengosongkan kerusi Port Dickson menimbulkan keresahan dalam kalangan veteran tentera.

“Kalau berita itu benar, Patriot melihatnya sebagai sikap tidak peduli (PKR) terhadap golongan veteran apabila tidak menghargai kehadiran bekas pegawai kanan tentera sebagai ahli Parlimen,” katanya.

Kawasan Parlimen Port Dickson disebut antara kerusi yang dipertimbangkan oleh PKR untuk Anwar Ibrahim kembali ke Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2018.

Arshad juga membayangkan keputusan Anwar bertanding di Port Dickson, sekiranya benar, boleh jadi senjata makan tuan kerana mungkin berdepan dengan undi protes daripada tentera dan bekas tentera.

Sementara itu, The Star melaporkan ahli PKR Negeri Sembilan sudah bersiap sedia memastikan kemenangan Anwar di Port Dickson, jika kerusi itulah yang jadi pilihan parti untuk menempatkan bakal presiden parti itu di Dewan Rakyat.

“Kita alu-alukan beliau dengan tangan terbuka. Saya sudah ada strategi untuk memastikan kita kekalkan kerusi itu dengan majoriti yang besar,” kata ketua PKR negeri, Aminuddin Harun yang juga menteri besar Negeri Sembilan.

Beliau juga menyifatkan pilihan itu, sekiranya benar, suatu penghargaan bagi penduduk Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ketua Umno Negeri Sembilan Mohamad Hasan berkata BN tidak akan memberi jalan mudah kepada Anwar untuk menang.

Katanya, BN akan berbincang untuk meletakkan calon, tidak kira sama ada dari MIC atau Umno, asalkan calon itu boleh menang.

“Dalam keadaan seperti ini, kita tidak perlu terikat dengan formula pengagihan kerusi,” katanya dipetik daripada The Star. – 12 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen