UMNO tidak wajar meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson kerana persepsi negatif rakyat terhadap parti masih belum pulih kata Pengerusi Jemaah Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh berkata bukan sahaja rakyat dan pengundi di Port Dickson, malah jentera parti juga masih belum bersemangat untuk bekerja bersungguh-sungguh selepas kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) Mei lalu.
“Tidak wajar, kita baru kalah. Mood orang terhadap Umno ini masih tidak baik. Jadi moral orang-orang kita pun tidak begitu bersungguh untuk bekerja dalam pilihan raya.
“Secara tradisinya pun kerusi itu bukan kerusi Umno daripada dulu lagi bermula wakil rakyat pertama tahun 1955 dahulu sampai sekarang.
“Jadi mengapa kita hendak pergi bertanding di situ? Kita tidak ada kekuatan di situ,” katanya yang lebih dikenali sebagai Ku Li ketika ditemui di kediamannya di Kuala Lumpur hari ini.
PRK Port Dickson akan diadakan pada 13 Oktober depan selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Menurut ahli Parlimen Gua Musang itu, tiada faedah untuk Umno bertanding untuk menang dalam PRK Port Dickson sedangkan pada masa yang sama kehilangan beberapa ahli Parlimen yang bertindak keluar parti.

“Lagipun kalau menang, bagaimana pula (ahli Parlimen Jeli) Mustapa Mohamed yang sudah menang, kemudian lari?
“Apa faedah kalau hendak menang satu kerana ganti dua (ahli Parlimen) lari ataupun empat lari? Tidak munasabah,” tegasnya.
Turut sependapat, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Shamsul Amri Baharuddin yang menyifatkan sekiranya Umno mahu bertanding di PRK Port Dickson hanya tindakan membuang wang dan tenaga sahaja.
Umno juga hanya mempunyai seorang calon yang mampu memberi saingan kepada Anwar iaitu Isa Samad tetapi tidak bijak jika parti meletakkan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu bertanding PRK Port Dickson, kata Tengku Razaleigh.
“Isa berbeza. Saya rasa kalau Isa bertanding, menang saya tidak pasti tetapi dia boleh dapat undi banyak sebab dia sahaja yang kebal di Port Dickson itu.
“Dulu dia Ketua Pemuda Bahagian Teluk Kemang, jadi Adun juga di situ. Ayah dia juga Adun di situ dahulu.
“Tetapi Umno kalau letak Isa sebagai calon, Umno ini akan jadi punching bag. Saya tidak rasa Umno akan bersetuju berdasarkan rekod yang ada pada Isa,” katanya. – 22 September, 2018.
Komen