PRK Port Dickson 13 Oktober


Chan Kok Leong

Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood mengumumkan penamaan calon akan berlangsung pada 29 September, pengundian awal pada 9 Oktober dan pengundian pada 13 Oktober untuk PRK Port Dickson. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 September, 2018.

PENAMAAN calon untuk Pilihan Raya Kecil Port Dickson ditetapkan pada 29 September dan pengundian akan dilakukan pada 13 Oktober, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

SPR juga menetapkan pengundian awal pada 9 Oktober.

“Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK ini adalah sehingga Suku Kedua Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 11 September 2018. Daftar Pemilih tersebut mengandungi 75,770 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 68,486 pemilih biasa dan 7,268 pemilih awal dan 16 pemilih tidak hadir luar negara,” kata Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya hari ini.

SPR juga akan melanjutkan masa pengundian kepada jam 5.30 petang berbanding jam 5 petang sebelum ini.

Othman juga berkata, SPR akan menambah 26 saluran untuk mengurangkan kesesakan ketika pengundian, menjadikannya 171 saluran berbanding 145 pada PRU14. Terdapat 39 pusat mengundi di kerusi Parlimen Port Dickson.

Petak undi juga ditambah kepada tiga untuk setiap saluran berbanding dua sebelum ini, kata Othman lagi.

Bajet untuk PRK ini mencecah RM3.6 juta, katanya lagi.

Manakala, Pegawai Pengurus Pilihan Raya adalah Khairy Maamor, yang juga pegawai daerah Port Dickson. Khairy akan dibantu sembilan pegawai SPR.

Penamaan dan pengiraan undi akan dilakukan di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan untuk PRK ini adalah sehingga Suku Kedua Tahun 2018 yang dikemaskini sehingga 11 September 2018. Daftar Pemilih tersebut mengandungi 75,770 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 68,486 pemilih biasa dan 7,268 pemilih awal dan 16 pemilih tidak hadir luar negara, kata Timbalan Pengerusi SPR Othman Mahmood hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 September, 2018.

Kerusi itu dikosongkan pada 12 September selepas penyandangnya Danyal Balagopal Abdullah berundur untuk memberi laluan kepada Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen.

Pada pilihan raya lalu, Danyal menewaskan calon Barisan Nasional V Mogan dan Mahfuz Roslan (PAS) selepas meraih 36,225 undi.

Port Dickson mempunyai 61,000 pengundi berdaftar dan peratusan pengundi awal kelima terbesar di Malaysia dengan 9.44%.

Komposisi pengundi mengikut kaum adalah 43% Melayu, 33% Cina da 22% India.

PAS sudah membayangkan tidak akan meletakkan calon di Port Dickson, Umno pula hanya akan memutuskan untuk bertanding selepas mesyuarat Biro Politiknya pada 24 September.

Selain Anwar yang sah bertanding, calon bebas Stevie Chan juga mengumumkan hasrat bertanding di PRK Port Dickson.

Port Dickson yang sebelum ini dikenali sebagai Teluk Kemang pertama kali dimenangi PKR pada 2008 oleh Kamarul Baharin Abas. – 20 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen