Mengapa Port Dickson paling sesuai untuk Anwar?


Chan Kok Leong

Anwar Ibrahim mahu kembali ke Parlimen, soalnya sekarang kerusi mana yang akan dikosongkan untuk memberi laluan kepadanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

BERSANDARKAN faktor kebolehmenangan dan mengabaikan faktor lain, kerusi terbaik untuk Presiden PKR Anwar Ibrahim kembali ke Parlimen adalah Port Dickson atau Selayang.

Kedua-dua kerusi itu bukanlah kerusi yang mempunyai margin kemenangan Pakatan Harapan yang besar selepas mengambil kira kerjasama Barisan Nasional dan PAS dalam pilihan raya kecil selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Tiga kerusi yang mempunyai margin tertinggi memihak kepada PKR adalah Subang, Pandan dan Ampang.

Tetapi Pandan yang kini disandang isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dimenangi dengan 43,692 margin (50.94%) tidak termasuk dalam senarai kerusi untuk Anwar seperti diumumkan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution.

Subang mempunyai margin kemenangan yang lebih tinggi -66.15%- dikira dengan menolak gabungan undi BN, PAS dan calon bebas sekiranya ada. Kerusi Subang disandang oleh peguam Wong Chen, 50, yang berada dalam kem Rafizi Ramli.

Manakala, Ampang mempunyai margin 32,064 (41.85%), tetapi penyandangnya ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamarudin yang sudah tiga penggal menjadi wakil rakyat di situ.

Dr Wong Chin Huat dari Penang Institute berkata pilihan Anwar dibataskan oleh dua faktor. Faktor pertama adalah komposisi dan reaksi pengundi, manakala faktor kedua adalah penyandang terutama sekali yang memegang jawatan Kabinet tidak akan mahu mengosongkan kerusi mereka.

Kerusi Ampang adalah salah satu kerusi margin besar PKR di Lembah Klang, penyandangnya Zuraida Kamaruddin, ketua Wanita PKR yang dikatakan dalam kem Azmin Ali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

“Anwar perlu mengecualikan semua kawasan yang pemegang kerusinya popular,” kata Wong.

Wong juga menambah yang Anwar juga perlu mengecualikan semua kerusi dipegang wakil rakyat dalam kem Azmin Ali dan Rafizi.

Rafizi dan Azmin sedang “berperang” merebut jawatan timbalan presiden PKR yang dijadualkan bermula akhir bulan ini sehingga awal Oktober.

Kerusi lain yang mempunyai peluang boleh menang yang tinggi di Lembah Klang ialah Petaling Jaya (37.03%), Gombak (26.2%), Selayang (22.77%) dan Batu (21.41%) berasaskan margin undi yang diterima PKR pada PRU14.

Daripada semua “kerusi selamat” ini, hanya William Leong, wakil rakyat tiga penggal yang memegang kerusi Selayang menawarkan kerusinya kepada Anwar.

Kerusi lain yang mempunyai lebih 20% margin kemenangan ialah Bayan Baru, Gopeng, Tebrau dan Johor Bahru.

Peratusan keluar mengundi yang rendah yang berlaku di PRK Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong juga perlu diambil kira oleh Anwar Ibrahim dalam memilih kawasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Daripada 11 kerusi yang mempunyai potensi boleh menang untuk Anwar ini, tiga dipegang wakil rakyat bergelar menteri, dua lagi disandang timbalan menteri.

Pengumuman kerusi yang akan dikosongkan untuk membuka jalan kepada Anwar kembali ke Parlimen bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dalam tempoh dua tahun akan dibuat esok.

Antara kerusi yang mempunyai margin kemenangan kurang 20%, yang paling mungkin diberikan kepada Anwar adalah Port Dickson yang dimenangi PKR menerusi calon kurang dikenali, Danyal Balagopal Abdullah.

Danyal menang dengan margin 18.12% untuk PKR, yang tertinggi dalam 10 kerusi yang mempunyai marjin kemenangan antara 10% hingga 20%.

Nibong Tebal yang juga disebut-sebut akan dikosongkan untuk Anwar mempunyai 13.85% margin kemenangan. Kawasan lain ialah Sungai Buloh (11.94%), Wangsa Maju (14.60%), Setiawangsa (13.29%), Bandar Tun Razak (17.16%), Segamat (6.18%), Ledang (6.11%), Batu Pahat (11.84%) dan Pasir Gudang (17.35%).

Wong merasakan Port Dickson adalah kerusi terbaik untuk Anwar berbanding Selayang untuk mengelakkan perpecahan kerana penyandangnya adalah orang baharu dan tidak terikat dengan kem Azmin atau Rafizi.

“Dalam apa juga kes, Anwar perlu mengesahkan usaha kembalinya dia ke Parlimen. Selepas politiking berterusan dan kerjasama yang berubah-ubah sejak 20 tahun lalu, pengundi dan rakyat sekarang sudah penat dengan politik,” kata Wong.

Pilihan Raya Kecil sekiranya dibuat dalam masa terdekat untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim akan jadi ujian getir popularitinya, sama ada rakyat bersedia menerimanya jadi penganti Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Port Dickson juga pilihan yang tepat kerana komposisi penduduk yang terdiri daripada 43% Melayu, 33% Cina dan 24% India, selari dengan analisis sebelum ini yang Anwar perlu mengelak kerusi majoriti Melayu disebabkan penurunan sokongan orang Melayu kepada kerajaan baharu disebabkan isu kaum.

Pilihan ini lebih selamat berbanding mengambil kerusi di Johor yang sokongannya tidak dapat diramal kerana saki baki sokongan kepada BN masih kuat di negeri itu.

Jarak Johor yang jauh dari ibu kota juga perlu dipertimbangkan Anwar kerana pengundi perlu balik ke negeri itu untuk mengundi, dan bersandarkan jumlah turun mengundi di PRK Sungai Kandis (47%), Seri Setia (44%) dan Balakong (43%), Anwar pastinya mahu mengelak situasi peratusan turun mengundi yang rendah.

Bagaimanapun, satu risiko di kerusi Port Dickson yang mempunyai 61,000 pengundi berdaftar adalah ia kawasan kelima teramai mempunyai pengundi awal di negara ini- 9.44% daripada pengundi berdaftar adalah pengundi awal. 

Pada PRU14, Port Dickson mempunyai 278,590 pengundi awal terdiri daripada tentera, polis dan ahli keluarga mereka. 

PKR diasaskan Anwar Ibrahim selepas dipecat kerajaan pada 1998. Parti itu sinonim dengan perjuangannya dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail. PRK untuk membolehkan Anwar kembali ke Parlimen akan jadi ujian sama ia mampu memikat hati rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 September, 2018.

Wong percaya “kepenatan” pengundi menyebabkan peratusan keluar mengundi rendah dan margin kecil boleh memberi kesan kepada peluang Anwar jika PKR memutuskan untuk mengosongkan kerusi dalam masa terdekat dan pilihan raya kecil terpaksa diadakan, yang keempat sejak 9 Mei. 

“Malangnya, jika kembalinya (Anwar ke Parlimen) dianggap mengacau berbanding mengukuhkan kerajaan, kemenangannya akan wujud dengan peratusan turun mengundi rendah dan margin tipis. 

“Kerusi mana pun, pilihan raya kecil ini akan jadi ujian kelayakan popularitinya untuk jadi PM. Kembalinya Anwar (dalam Parlimen) perlu menggambarkan kepimpinan, tindakannya perlu bergaya tak nampak macam ambil kesempatan. 

“Kerana kerusi mutlaknya adalah negara dan pengundi kawasan (yang dipilih untuk PRK) adalah proksi negara (menggambarkan kesediaan rakyat menerima Anwar),” kata Wong.  – 11 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen